Skip to main content

Bola Sepak

Man City sahkan Sane cedera ligamen buku lali

leroy-sane-cropped_qcxarw69agb51rz5uy405tnjl.jpg
Manchester City mengesahkan pemain sayapnya, Leroy Sane, mengalami kecederaan ligamen buku lali ketika meraih kemenangan 2-0 dalam Piala FA di Cardiff City, semalam.

Pemain antarabangsa Jerman itu digantikan untuk aksi separuh masa kedua selepas diterjah keras oleh Joe Bennett pada penghujung babak pertama. 

Imbasan hari ini menunjukkan sejauh mana kecederaannya walaupun City enggan untuk menganggarkan tempoh ketiadaan Sane.

"Manchester City dapat mengesahkan bahawa pemain sayap, Leroy Sane, mengalami kecederaan ligamen buku lali semasa kemenangan Piala FA di Cardiff," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

"Pemain antarabangsa Jerman itu direhatkan susulan menerima cabaran pemain Bluebirds, Joe Bennett.

"Sane selepas itu menjalani imbasan yang mengesahkan bahawa pemain berkenaan akan direhatkan -- walaupun tiada masa ditetapkan untuk dia kembali beraksi."

Pengurus, Pep Guardiola, menjangkakan Sane akan "keluar seketika" dan mendakwa dia boleh terlepas perlawanan untuk tempoh sebulan atau mungkin lebih lama.

Pemain berusia 22 tahun itu sebelum ini berada di tahap cemerlang dalam Liga Perdana musim ini, dengan menjaringkan 11 gol dalam semua pertandingan.

Advertisement

Must Watch Video