Skip to main content

Bola Sepak

Malik sedia kecewakan negeri kelahiran

malik.jpg
Penyerang Terengganu FC (TFC), Abdul Malik Mat Ariff, menggesa rakan sepasukannya agar tidak mensia-siakan aksi 90 minit bertemu Pahang di Stadium Darulmakmur, Sabtu ini.

Bagi Malik, sesiapa yang diturunkan perlu memberikan persembahan terbaik selain memikul bersama tugas menjaringkan gol untuk memastikan tiga mata berjaya dikutip.

Mereka juga perlu membawa semangat juang yang sama ketika perlawanan pembukaan dengan PKNS FC serta mengatasi ketumpulan serangan.

"Semua pemain perlu mengekalkan kerja keras sehingga wisel penamat," kata bekas pemain Kuantan FA itu.

"Pahang antara pasukan terbaik musim ini, namun saya yakin jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim) ada strateginya tersendiri."

Dalam aksi minggu lalu, Malik bermula daripada bangku simpanan sebelum menyelamatkan TFC daripada dimalukan PKNS FC dengan gol penyamaan seminit sebelum tamat.

Mengakui belum cergas sepenuhnya, pemain berusia 28 tahun itu tetap bersedia diletakkan dalam kesebelasan utama berdepan negeri kelahirannya nanti.

"Keutamaan adalah kepada pasukan walaupun sudah tentu secara peribadi saya mahu menambah koleksi jaringan," tambah penjaring terbanyak tempatan Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2017 itu.

Advertisement

Must Watch Video