Skip to main content

Bola Sepak

Madrid akan menjadi kelab terakhir Ronaldo di Eropah, dakwa Salgado

ronaldo-cropped_1bj33t0m6fnl91lix4zfrakjgo.jpg
Michel Salgado berpendapat Real Madrid akan menjadi kelab Eropah terakhir buat Cristiano Ronaldo. 

Sebelum ini, Ronaldo dikaitkan dengan perpindahan ke bekas kelabnya, Manchester United, dan gergasi Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), dalam jendela perpindahan selepas laporan mendakwa dia mahu meninggalkan Sepanyol kerana tidak gembira dengan urusan cukai.

Tetapi pemain antarabangsa Portugal itu kelihatan cenderung untuk kekal di Santiago Bernabeu dan Salgado, juara dua kali Liga Juara-Juara bersama Madrid, tidak melihat Ronaldo akan bermain di mana-mana kelab lain di benua itu.

Itu juga pendapat Jose Mourinho dengan menggambarkan perpindahan penyerang itu sebagai "misi mustahil" dalam lawatan pra-musim United ke Amerika Syarikat.

Salgado berharap Ronaldo akan bersara di Madrid dan hanya boleh melihat Ronaldo bermain untuk kelab lain jika dia mahu mencuba cabaran yang sama sekali berbeza seperti bermain dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS).

"Saya tidak melihat Ronaldo dengan jersi lain, sekurang-kurangnya dalam bola sepak utama," kata Salgado dalam kejohanan Star Sixes, di mana dia mewakili Sepanyol.

"Mungkin dia akan bersara di Real Madrid atau mungkin dia akan mencuba satu lagi liga seperti Amerika Syarikat (AS) atau sesuatu seperti itu.

"Tetapi dalam bola sepak utama di Eropah, saya tidak fikir Ronaldo akan menukar kelab, saya fikir dia selesa di Real Madrid.

"Sekarang dia adalah jiwa kami, dia adalah pemain yang kami lihat ketika bermain perlawanan besar dan secara jujurnya, ​​saya fikir dia akan kekal.

"Pasti Ronaldo akan bermain untuk Real Madrid, saya tidak melihatnya memakai jersi pasukan lain."

Selepas Ronaldo membantu Madrid menjuarai LaLiga dan Liga Juara-Juara kali kedua pada 2016-17, Salgado berasakan sukar bagi pemain berusia 32 tahun itu, calon utama untuk memenangi Ballon d'Or buat kali kelima, untuk mendapatkan pasukan lebih baik.

"Ia akan menjadi sukar (untuk menjadi lebih baik) kerana walaupun dia menghabiskan musim dengan prestasi luar biasa, dia semakin tua pada setiap tahun," kata Salgado.

"Tetapi saya kenal dia, dia seorang profesional, dia akan bersedia untuk menjadi pemain penting dalam perlawanan penting. Dia akan belajar untuk melakukannya.

"Saya fikir ia adalah perkara yang dia pelajari pada tahun lalu, dia sudah bersedia menjadi Cristiano Ronaldo apabila kami perlukan di peringkat suku akhir, separuh akhir dan final.

"Jadi, saya fikir dia menyimpan tenaga sepanjang musim ini. Dia melakukan dengan baik di bawah pengurus dan secara fizikalnya sangat baik.

"Mungkin dia tidak boleh meningkatkan tahapnya tetapi jelas dia akan menjadi sangat penting untuk Real Madrid."

Advertisement

Must Watch Video