Skip to main content

Bola Sepak

Lukaku buat United lebih berbisa -- Ibrahimovic

25817zlatanibrahimovic.jpg
Zlatan Ibrahimovic teruja bersaing dengan Romelu Lukaku untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Manchester United dan percaya pemain kebangsaan Belgium itu memiliki kualiti yang bagus.

Ibrahimovic menandatangani semula kontrak bersama United dengan perjanjian selama setahun setelah dilepaskan pada musim lalu kerana mengalami kecederaan ligamen lutut yang serius.

Pemain berusia 35 tahun itu menjaringkan 28 gol dalam semua pertandingan ketika membantu United menjuarai Piala EFL dan Liga Europa (UEL) pada musim pertama di bawah kendalian Jose Mourinho.

Lukaku menyertai United dari Everton pada Julai lalu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ibrahimovic dan telah berjaya menjaringkan empat gol dalam tiga penampilan pertamanya bersama The Red Devils.

"Saya sangat gembira Lukaku tiba di United, saya berasakan pasukan menjadi lebih kuat," kata Ibrahimovic.

"Kami telah kehilangan khidmat Wayne Rooney, legenda kelab ini, tetapi kami membawa masuk tiga pemain baru dan pasukan kini menjadi lebih kuat.

"Kehadiran Lukaku membuatkan jentera serangan United bertambah kuat kerana kualiti yang dimilikinya berbeza dengan saya dan Marcus Rashford. Kekuatan fizikalnya menambah kualiti serangan pasukan."

Ibrahimovic telah bekerja keras untuk kembali pulih dan menyifatkan usahanya itu dengan gaya yang tidak mampu ditiru mana-mana pemain lain.

"Singa, mereka tidak pulih seperti manusia."

Advertisement

Must Watch Video