Skip to main content

Bola Sepak

Lukaku anggap Shaw pemain terbaik United musim ini

shaw.jpg
Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku, menganggap pertahanan kiri, Luke Shaw, sebagai pemain terbaik pasukannya musim ini selepas memaparkan kebangkitan menakjubkan.

Shaw sebelum ini kerap dilanda masalah kecederaan dan kecergasan sejak menyertai United daripada Southampton sebagai pemain berusia 18 tahun pada 2014.

Masa depannya bersama kelab itu hampir musnah ekoran kritikan daripada bekas pengurus, Jose Mourinho, namun Shaw kembali meningkat naik di bawah kendalian pengurus Portugis itu pada awal musim ini.

Keadaan itu mengembalikannya dalam kesebelasan utama United, mendapat panggilan kembali daripada skuad kebangsaan England dan memeterai kontrak baru dengan The Red Devils selepas dilihat sudah kembali ke prestasi terbaik musim ini.

Shaw kemudian dilihat sebagai bintang utama ketika membantu United mengikat Liverpool 0-0 di Old Trafford kelmarin dengan menidakkan ancaman daripada Mohamed Salah di bahagian sayap yang dijaganya.

Walaupun Lukaku berasakan keseluruhan pertahanan United telah beraksi baik sejak akhir-akhir ini, dia memberikan pujian istimewanya kepada Shaw.

"Semua pihak memuji ketajaman jentera serangan kami, namun barisan pertahanan kami juga beraksi dengan amat baik.

"Chris Smalling kembali dalam beberapa perlawanan terdahulu (selepas pulih daripada kecederaan) dan telah menunjukkan aksi yang hebat.

"Luke Shaw pula merupakan pemain terbaik kami musim ini.

"Ashley Young amat konsisten dan David de Gea pula merupakan penjaga gol terbaik dunia," katanya.

Keputusan seri ketika menentang Liverpool mengakibatkan Arsenal memintas United di tangga keempat liga dan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu kini berdepan krisis kecederaan pemain yang kritikal.

Marcus Rashford, Juan Mata, Ander Herrera, Nemanja Matic dan Jesse Lingard kesemuanya akan terlepas aksi menentang Crystal Palace, Khamis ini ekoran kecederaan dan Lukaku menggesa pasukannya untuk tidak terlalu negatif dalam berdepan situasi itu.

"Kami berdepan dengan krisis kecederaan, namun kami perlu kekal dengan mentaliti positif.

"Kami adalah Manchester United dan perlu ke mana sahaja untuk memenangi perlawanan.

"Kami perlu menyesuaikan diri dengan perkara itu.

"Ia tentang menjadi pasukan dengan kekuatan mental yang baik walaupun terdapat ramai pemain yang tercedera.

"Roy Hodgson pasti akan mencaturkan taktikal terbaik buat pasukannya, jadi kami perlu bersedia dan memulihkan diri dengan sebaik-baiknya memandangkan perlawanan dengan Liverpool kelmarin memerlukan kekuatan fizikal yang banyak, namun kami sudah bersedia untuk melakukannya sekali lagi," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video