Skip to main content

Bola Sepak

Luiz sasar satu kejuaraan untuk Perak

luiz19118.jpg
Pemain tengah import baru Perak, Wander Luiz Bitencourt Junior​, meletakkan misi sekurang-kurangnya memenangi satu kejuaraan bersama skuad The Bos Gaurus dalam Liga Malaysia musim 2018.

Luiz, yang pernah bersama Kelantan pada 2016, mengakui selesa dengan barisan Perak yang lebih ramai tonggak muda musim ini.

Katanya, pengalaman bersama Kelantan sedikit-sebanyak membantunya menyesuaikan diri di Perak.

"Apabila saya hadir bersama pasukan, pertama sekali saya akan bercakap tentang kejuaraan. Saya fikir kami boleh melakukannya jika bekerja keras," katanya.

Luiz tampak serasi membantu Gilmar Jose da Silva Filho mengetuai jentera serangan ketika menewaskan MOF FC dalam aksi persahabatan di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.

Da Silva, yang sudah lama mengenali rakan senegaranya itu, juga mengakui yakin mampu membentuk gandingan baik bersama Luiz musim ini.

"Saya tahu dia dari Brazil dan seorang pemain yang bagus ketika di Kelantan. Saya harap kami boleh membuat kombinasi yang baik di Perak," katanya.

Selain Luiz, turut memeriahkan lagi Perak musim ini ialah kehadiran Brendan Gan Seng Ling, Muhammad Rafiuddin Roddin dan Mohammad Nor Hakim Hassan.

Advertisement

Must Watch Video