Skip to main content

Bola Sepak

Luis Enrique bertanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan buruk Barca

luis-enrique-takes-responsibility-for-barcelona-s-psg-humiliation.jpg
Ketua jurulatih Barcelona, Luis Enrique, menegaskan dia bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan buruk 4-0 Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara kepada Paris Saint-Germain (PSG).

Anak buah Unai Emery berjaya mendesak Barcelona berkubu di kawasan sendiri dengan memberi tekanan berterusan sejak sepak mula dalam aksi pusingan 16 pagi tadi, dan mereka terus mengasak sebaik Angel Di Maria membuka tirai gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-18. 

Julian Draxler menjadikan kedudukan 2-0 sebelum Di Maria sekali lagi mempamerkan kelincahan untuk gol kedua peribadinya. 

Penyerang terbaik PSG, Edinson Cavani, melengkapkan malam gemilang buat PSG untuk gol keempat perlawanan. 

Biarpun pemain tengah Barcelona, Sergio Busquets, terlebih dahulu memberitahu wartawan bahawa dia dan rakan sepasukannya kalah dari segi percaturan, pendapat itu bagaimanapun disangkal Luis Enrique. 

"Mudah sahaja, pihak lawan sangat menyerlah ketika menguasai bola dan ketika kehilangan bola," katanya. 

"Mereka berjaya memenangi pertembungan ini, mereka lebih efektif dan keputusan perlawanan jelas dipengaruhi aksi di atas padang. Saya tidak fikir saya perlu menjelaskannya secara panjang lebar. 

"Usahlah membuang masa dengan topik mudah sebegini -- ia sukan yang mengujakan dan sentiasa ada kesulitan. 

"Saya bertanggungjawab. Jika anda mahu menyalahkan sesiapa, salahkan jurulatih. 

"Ini adalah pemain sama yang memenangi perlawanan terdahulu. 

"Mengakhiri separuh masa pertama dengan 2-0 adalah sangat buruk. Kami cuba menyamakan kedudukan tapi jaringan ketiga dan keempat pula menyusul."

Enrique mengenal pasti bekas jurulatih Sevilla, Emery, sudah masak dengan ancaman yang mampu dijana Barca dan tidak terkejut dengan kemampuan pasukan lawan kerana berpendapat pemain-pemain lawan telah melaksanakan perancangan mereka untuk membayangi jaguh LaLiga itu. 

"Kami langsung tidak terkejut," katanya. 

"Kami telah berbincang dengan tekanan yang mereka mampu jelmakan, namun itu tidak bermaksud kami mampu mengatasinya. Kami kalah dalam kebanyakan perebutan bola. 

"PSG telah melakukan apa yang kami jangkakan dan mereka melakukannya dengan cemerlang. Tapi saya tidak akan berputus asa, kami perlu menyumbat lima gol."

Belum pernah ada pasukan yang mampu memadamkan jurang gol sebesar itu dalam sejarah Liga Juara-Juara, namun Enrique tetap berkeras dengan berkata: "Saya memiliki keyakinan penuh terhadap pemain saya. 

"Saya mahu ulangi, kami adalah sebuah pasukan yang menggunakan kemampuan kami untuk mempamerkan aksi hebat dan mencapai keputusan besar.

"Selepas kami menilai apa yang terjadi, kemudian kami akan mengkaji pilihan yang ada."

Advertisement

Must Watch Video