Skip to main content

Bola Sepak

Lopes akan sertai Kelantan esok

husinderamansua11118.jpg
Kelantan yakin bekas penyerang Persija Jakarta, Bruno Lopes, yang baharu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk beraksi bersama The Red Warriors (TRW) dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini, akan menunaikan janjinya.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Husin  Deraman, berkata isu mungkir janji tidak sepatutnya ditimbulkan memandangkan ejen penyerang kelahiran Brazil itu memberi jaminan kehadiran Lopes dalam masa terdekat.

“Kami (KAFA) sudah menghubungi ejennya dan dia (Lopes) mengesahkan akan ke Kota Bharu pada 2 Januari (esok), malah meminta membeli tiket tambahan untuk isteri dan anaknya.

“Saya yakin dia (Lopes) akan datang dan kami berpegang kepada janji itu. Sekarang, tunggu dan lihat,” katanya.

Ditanya mengenai awang import terbaharu bagi mengisi kuota ASEAN selepas penyerang Filipina, Misagh Bahadoran, menyertai pasukan lain, Husin menjelaskan KAFA sedang mengintai tiga pemain baru.

Bagaimanapun, beliau enggan menamakan pemain tersebut sambil menegaskan pemilihan pemain import perlu dilakukan secara berhati-hati.

“Yang pasti, bukan penyerang Singapura, Mohammad Khairul Amri Mohd Kamal, sebagaimana yang dihebohkan, sebaliknya ketua jurulatih (Sathit Bensoh) sedang menilai pemain lain,” katanya.

Untuk rekod, TRW sudahpun mengikat kontrak dengan bekas pemain UiTM FC, Do Dong Hyun, dan pertahanan Brazil, Cassio Francisco De Jesus, selain mengekalkan pemain tengah kreatif, Margaro Lima Gomis.

Advertisement

Must Watch Video