Skip to main content

Bola Sepak

Liverpool bawa bekalan ke Anfield

jurgen-klopp-160817.jpg
HOFFENHEIM 1 LIVERPOOL 2

Jurgen Klopp menegaskan tugas Liverpool hanya baru selesai separuh selepas merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Hoffenheim dalam aksi play-off Liga Juara-Juara di tempat lawan, awal pagi tadi.

Sepakan percuma Trent Alexander-Arnold dan gol sendiri Havard Nordtveit meletakkan The Reds di landasan tepat untuk mara, namun jaringan lewat Mark Uth kembali meletakkan Hoffenheim dalam saingan.

Sekalipun menjadi pasukan pertama yang meraih kemenangan di Hoffenheim sejak Mei 2016, Klopp percaya ia adalah keputusan yang baik dan tidak sabar untuk pertemuan timbal balik. 

"Keputusan ini adalah baik," katanya kepada BT Sport. 

"Separuh daripada tugasan ini telah terlaksana dan jika sebelum perlawanan anda mengatakan kami akan menang, saya akan menerima keputusannya. 

"Kami perlukan Anfield. Ia perlawanan yang tegang buat kedua-dua pasukan. Saya tidak sabar untuk aksi Eropah di Anfield."

Klopp berpuas hati dengan deretan peluang yang dicipta oleh Liverpool, terutama dalam permulaan babak kedua, namun dia sedar corak permainan pasukannya terlalu terbuka sebelum mendahului. 

"Hoffenheim mempunyai pelan spesifik," katanya. 

"Kami mengambil risiko di bahagian sayap -- ia agak berbahaya pada separuh masa pertama.

"Bagaimanapun, seperti biasa apabila kami beraksi, kami menemui ruang dan mencipta peluang menarik."
 

Advertisement

Must Watch Video