Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super : Perak mahu perbaiki kedudukan

amirul-azhan-aznan-040817.jpg
Pemain pertahanan The Bos Gaurus, Amirul Azhan Aznan, mahu keputusan positif apabila pasukannya bertemu PKNS FC dalam aksi Liga Super di Ipoh, malam esok.

"Esok perlawanan penting sebelum liga berhenti rehat. 

"Kemenangan pada malam esok mampu melonjakkan Perak ke kedudukan lebih baik berdasarkan jurang mata yang kecil," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih, Mehmet Durakovic, juga melihat suasana positif di kem Perak.

"Saya gembira dengan disiplin dan prestasi pasukan.  Bukan senang untuk berada dalam situasi ini. 

"Mereka faham kehendak saya dan saya tahu kredibiliti mereka.

"Satu lagi perlawanan sebelum berhenti rehat. Saya harap pemain dapat mempamerkan semangat 100 peratus dan mengutip tiga mata di Ipoh.

"Esok saya akan tentukan siapa yang akan diturunkan," ujar Durakovic.

Perak kini di tangga keenam liga di bawah Selangor apabila terikat 27 mata dan dipisahkan dengan jurang jaringan. 

Teraju Liga Super masih di kuasai Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan 45 mata, diikuti Kedah, 34 mata. 

Advertisement

Must Watch Video