Skip to main content

Bola Sepak

Leverkusen lega Hernandez kembali berbisa

chicharito-return-to-form-boosts-schmidt-s-leverkusen-for-atletico-test.jpg
Jurulatih Bayer Leverkusen, Roger Schmidt, yakin jaringan dalam Liga Juara-Juara akan tiba jua buat Javier Hernandez apabila mereka menyambut Atletico Madrid dalam pusingan 16, awal pagi esok. 

Leverkusen lolos dari Kumpulan E di belakang AS Monaco untuk mengetepikan cabaran Tottenham Hotspur biarpun penyerang handalan mereka, Hernandez, gagal menepati jangkaan awal. 

Bekas pemain Manchester United itu meledak lima gol dalam enam aksi di peringkat kumpulan musim lalu, malangnya hanya mampu menyumbang satu gol musim ini dalam aksi ketika seri 1-1 dengan Monaco. 

Gol itu juga menamatkan kemarau jaringan yang dialami tonggak berusia 28 tahun itu dalam 16 perlawanan. 

Berkat keyakinan Schmidt, Hernandez kini mula menemui semula penyudah berbisanya dalam beberapa minggu ini, dengan menggegar gawang ketika tewas 3-2 kepada Borussia Monchengladbach sebelum meledak gol secara berturut-turut dalam kemenangan ke atas Eintracht Frankfurt dan Augsburg, bulan ini. 

"Chicharito berada dalam kemuncak prestasi. Dia benar-benar menemui sentuhannya selepas cuti pertengahan musim," kata Schmidt dalam sidang media. 

"Dia bekerja keras untuk pasukan dan melaksanakan tugasnya dengan menyempurnakan setiap peluang yang terhidang. 

"Dalam perlawanan seperti ini, adalah penting untuk memiliki seseorang yang mampu meletakkan bola ke dalam gawang."

"Seingat saya, kami tidak bernasib baik ketika kalah kepada Atletico di peringkat yang sama, dua musim lalu. Kedua-dua perlawanan berlangsung sengit," kata Schmidt lagi. 

"Kami perlu memastikan kami membuat percaturan tepat di kawasan lawan agar dapat mencipta keputusan positif. 

"Atletico memiliki skuad yang hampir sama berbanding dua musim lalu. 

"Sejak itu, mereka menambah kepantasan dan kualiti dalam serangan mereka. 

"Mereka memiliki sebuah skuad yang cukup mengagumkan dan kami perlu beraksi di tahap terbaik untuk menundukkan mereka."

Sementara itu, pemain tengah Jerman, Lars Bender, berlatih berasingan daripada rakan sepasukannya ekoran kecederaan otot. 

 
 

Advertisement

Must Watch Video