Skip to main content

Bola Sepak

Ledakan Cabrera, Safawi lebur rekod kebal Melaka

jdt.jpg
JDT 2 MELAKA 1

Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini selepas mencatat kemenangan 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.


Jaringan dalam babak pertama oleh Gabriel Cabrera dan Safawi Rasid ternyata cukup untuk skuad Harimau Selatan itu naik ke tangga kedua liga walaupun Melaka cuba bangkit menerusi gol Patrick Reichelt.

JDT melayan kunjungan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu yang turut berbekalkan rekod belum tewas selepas tiga perlawanan dengan misi mengutip tiga mata selepas dinafikan peluang pada minit terakhir untuk mencatat kemenangan ketika diikat seri 2-2 oleh Terengganu dalam aksi sebelum ini.

Keinginan itu dibuktikan apabila pengurus pasukan, Luciano Figueroa, meletakkan Leandro Velazquez -- pemain import baru yang menggantikan Aaron Niguez dan pernah berkelana di Johor sebelum ini -- dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, Melaka bermula garang di depan penyokong tuan rumah menerusi asakan ke kubu lawan pada minit ke-12 tetapi rembatan lencong Casagrande tersasar ke sebelah kiri gawang JDT sambil usaha pertama Velazquez dua minit kemudian turut gagal menerjah jaring walaupun penjaga gol skuad Hang Tuah, Khairul Fahmi Che Mat, sudah tertewas.

Jaringan pembukaan yang ditunggu-tunggu di Larkin akhirnya menyusul ketika permainan memasuki minit ke-35 setelah tuan rumah dianugerahkan sepakan penalti.

Larian deras Corbin Ong dari sebelah kiri membolehkannya melakukan hantaran lintang tetapi bola tolakan Safawi terkena tangan Jang Suk-won dan Cabrera tenang menyempurnakan sepakan penalti bagi meraih gol ketiga peribadi musim ini serta menjadikan kedudukan 1-0.

Juara bertahan Liga Super itu menggandakan kelebihan tujuh minit kemudian, kali ini hasil larian solo Safawi yang menggelecek tiga pemain pelawat selepas menyambut bola tolakan Diogo Santo dan membuatkan Khairul Fahmi tewas buat kali kedua sebelum rehat.

Babak kedua menyaksikan JDT lebih memperlahankan permainan, melakukan banyak hantaran pendek tatkala Melaka cuba memecahkan keampuhan benteng tuan rumah yang diketuai Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Namun, kekebalan pertahanan JDT akhirnya lebur ketika permainan berbaki 15 minit selepas penyerang dari Filipina, Reichelt, menyempurnakan gerakan bijak Darko Markovic untuk menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-74 walaupun jaringan itu mengundang kontroversi kerana penggempur berusia 30 tahun itu dilihat sedikit ofsaid.

Jaringan pelawat merancakkan semula aksi di Larkin dan pemain gantian, Akhyar Rashid, hampir menjarakkan kembali kedudukan tiga minit kemudian tetapi rembatan kaki kiri bekas tonggak Kedah itu ditepis keluar Khairul Fahmi.

Kekalahan itu bermakna Melaka kini jatuh ke tangga kelima dengan tujuh mata sambil JDT berkongsi 10 mata dengan pendahulu, Kedah.

Kredit foto: Facebook Johor Souther Tigers


Keputusan lain:
Liga Super

PERAK 1 FELDA UNITED 1
PKNS FC 1 PKNP 0

Liga Perdana
SARAWAK 1 SABAH 2
PDRM FA 0 SELANGOR UNITED 1
TERENGGANU FC II 0 UKM FC 0
 

Advertisement

Must Watch Video