Skip to main content

Bola Sepak

Kraljevic puji semangat juang pemain

img_5454.jpg
Ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Marko Kraljevic, memuji semangat juang anak buahnya yang tidak mudah mengalah ketika seri 3-3 dengan Sabah dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Biarpun di ambang kekalahan selepas pemain tengah Sabah, Maxsius Musa, menjaringkan gol ketiga, pemain Kelantan tidak mudah mengalah dan berjaya menjaringkan gol penyamaan dua minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

"Saya gembira dengan semangat juang mereka. Kami bangkit daripada ketinggalan 2-3, menyamakan kedudukan 3-3 untuk berkongsi mata dengan Sabah.

"Pemain tunjukkan karektor tidak mudah mengaku kalah dan kami akan baiki kesilapan ketika menghadapi bola mati," katanya.

Kraljevic, yang juga bekas pengendali Balestier Khalsa FC dalam Liga Singapura, tidak mahu menyalahkan penjaga gawang, Abdul Arif Abdullah, yang kelihatan gugup dan melepaskan gol mudah melalui set-piece pasukan lawan.

"Dia (Arif) jalankan tugas dengan baik dan berjaya menyelamatkan banyak cubaan bahaya penyerang Sabah. Mungkin satu kesilapannya kerana gagal membaca arah bola (sepakan percuma) yang menghasilkan jaringan.

"Secara keseluruhannya, Arif menunjukkan prestasi yang bagus. Bukan mudah beraksi di depan ribuan peminat," ujarnya.

Ditanya aksi berikutnya menentang UKM FC, Kraljevic tanpa berselindung mahukan TRW mencari kemenangan pertama.

"Sudah pasti, kami ke sana untuk mencari kemenangan pertama dan tiga mata. Untuk kembali ke Liga Super, kami perlu menang," katanya.

Untuk rekod, Kelantan berada di tangga ke sembilan Liga Perdana dengan satu mata daripada dua perlawanan.
 

Advertisement

Must Watch Video