Skip to main content

Bola Sepak

Kim Swee: Tewaskan Arab Saudi satu kejayaan besar

kimswee17118.jpg
"Pemain buktikan mereka mampu bersaing di peringkat tertinggi," kata jurulatih skuad B-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, selepas anak buahnya menumpaskan Arab Saudi 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan C untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di Stadium Kunshan, China, semalam.

Malaysia, yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan itu, pada mulanya tidak diletakkan harapan tinggi untuk mara jauh, apatah lagi perlu berdepan tiga skuad gergasi Asia Barat, Iraq, Jordan dan Arab Saudi.

Begitupun, barisan pemain bimbingan Kim Swee membuktikan sebaliknya menerusi kejayaan menundukkan Arab Saudi hasil jaringan tunggal Muhammad Danial Amier Norhisham.

"Kemaraan ke suku akhir adalah satu sejarah bagi kami," kata jurulatih kelahiran Melaka itu. "Selepas apa yang terjadi kepada bola sepak kita, hari ini kami buktikan pemain boleh bermain untuk masa depan.

"Bukan sahaja Arab Saudi, kami juga mengatasi Jordan. Kami mendapat tiga mata menentang Arab Saudi, saya fikir ia adalah satu pencapaian yang sangat-sangat besar dalam bola sepak kita," katanya lagi.

Skuad negara muncul naib juara Kumpulan C dengan menghimpun empat mata selepas mencatat satu kemenangan dan satu keputusan seri untuk mengiringi pendahulu kumpulan, Iraq, ke suku akhir.

Mereka akan berdepan dengan juara Kumpulan D yang akan ditentukan pada malam ini, sementara Iraq pula bertemu naib juara kumpulan tersebut yang dihuni Korea Selatan, Vietnam, Australia dan Syria. 

"Mereka (pemain-pemain) menunjukkan disiplin yang baik. Apabila kamu bertahan, kamu perlu melihat kepada disiplin sangat tinggi di mana kamu tidak boleh membenarkan hantaran-hantaran berbahaya. Itu sangat penting," tambah Kim Swee.  

Advertisement

Must Watch Video