Skip to main content

Bola Sepak

Kim Swee bijak memotivasi pemain -- Irfan

irfan-zakaria_1.jpg
Tonggak pertahanan skuad B-23 negara, Irfan Zakaria, mendedahkan pengendali, Datuk Ong Kim Swee, mempunyai keyakinan tinggi terhadap anak buahnya. 

Sedar anak buahnya perlu keluar daripada kepompong permainan hantaran jauh untuk melakar kejutan dalam Kejohanan AFC B-23 di China, Kim Swee tetap berdiri teguh untuk menghasilkan permainan berbeza biarpun berdepan kritikan hebat susulan dibelasah Iraq 4-1 dalam aksi pembukaan. 

"Kami gugup dalam perlawanan pertama, apatah lagi kami terjejas dengan cuaca sejuk manakala prestasi juga tenggelam.

"Ong Kim Swee merupakan seorang jurulatih yang tegas, dia bijak mengembalikan keyakinan kami. 

"Dia percaya kami mampu untuk bangkit bermain mengikut perancangannya," kata tonggak Kuala Lumpur itu.

Menurut Irfan, dia dan dua lagi rakannya di bahagian pertahanan, Dominic Tan dan Adam Nor Azlin, sempat berbincang dan berikrar untuk bermatian-matian mempertahankan gawang mereka.

"Keputusan mengikat Jordan 1-1 menyuntik semangat kami kerana bukan mudah untuk menyumbat gol dalam Kejohanan AFC B-23 ini. Kami bertemu pasukan yang layak bermain dalam pusingan akhir Piala Dunia Russia. 

"Kami jadi bersemangat dapat menghasilkan keputusan seri dengan Jordan, ia satu kebanggaan bagi kami.

"Dalam masa sama, Kim Swee mahu kami tidak sekadar bertahan ketika berdepan Korea Selatan. Beliau mahu kami mengatur gerakan dan memburu gol. 

"Dia mempunyai banyak perancangan. Kami perlu mengikut perancangannya dan bermain sebagai sebuah pasukan.

"Dia bersikap terbuka dan turun padang bagi memantau dan mengenal pasti pemain."

Mewakili The City Boys di peringkat kelab, Irfan merupakan tonggak tengah, namun beralih posisi ketika bersama skuad B-23. Baginya, kaedah itu memberinya kelebihan.

"Sudah terbiasa beraksi di bahagian tengah, ia membantu saya cepat membuat keputusan. 

"Apabila diletakkan di bahagian pertahanan, pengamatan saya lebih luas," katanya. 

 

Advertisement

Must Watch Video