Skip to main content

Bola Sepak

Khairy enggan sahkan tarik diri perebutan presiden FAM

8217khairy.jpg
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, enggan membuat pengesahan menarik diri daripada bertanding jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyuarakan persetujuan secara lisan merebut kerusi panas itu.

Khairy minggu lalu menyuarakan pendirian untuk menarik diri jika Tunku Ismail bertanding jawatan presiden badan induk itu.

Tetapi memandangkan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu belum menghantar borang penerimaan pencalonan, maka Khairy mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat'.

Ini kerana individu yang dicalonkan mempunyai tempoh sehingga Isnin ini untuk membuat keputusan menerima atau menolak pencalonan ahli gabungan terhadap mereka.

"Saya mahu melihat pengesahan (penyertaan) itu dibuat. Borang itu perlu diisi seperti Tan Sri Annuar Musa lakukan, barulah kita akan tahu beliau akan bertanding," kata Khairy. 

"Itu sahaja pengesahan (yang perlu). Kenyataan dan gambar masih belum cukup."

Setakat ini, hanya bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Annuar, yang menghantar borang pencalonan untuk jawatan presiden.

Selain Tunku Ismail, Khairy dan Annuar, seorang lagi calon ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

"Ia adalah pengesahan secara rasmi untuk mengesahkan penyertaan beliau dalam pemilihan. Selepas itu barulah saya akan komen," tambahnya. 

FAM akan mengumumkan senarai calon bertanding selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutifnya, 20 Februari ini.

Pemilihan penggal 2017/21 akan diadakan dalam Kongres FAM pada 25 Mac depan.

Advertisement

Must Watch Video