Skip to main content

Bola Sepak

Kemenangan tipis cerahkan laluan Juve pertahan kejuaraan

juvnetus.jpg
BOLOGNA 0 JUVENTUS 1

Massimiliano Allegri berasakan kemenangan tipis 1-0 Juventus di Bologna mustahak dalam usaha mereka untuk meraih gelaran Serie A yang kelapan berturut-turut.


Juve bergelut dalam pertemuan tengah malam tadi tetapi Paulo Dybala bangkit dari bangku simpanan untuk meleraikan masalah itu untuk skuad kendalian Allegri sekurang-kurangnya melebarkan kedudukan dengan pasukan di tangga kedua, Napoli, dengan 16 mata. 

Setelah mengalami kekalahan kepada Atletico Madrid dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) pada pertengahan minggu lalu, Allegri menegaskan betapa pentingnya keputusan tersebut memandangkan Juve akan menghadapi Napoli selepas ini. 

"Kami biasanya sukar untuk memperagakan aksi terbaik selepas mengharungi perlawanan penting seperti UCL," kata pengurus Juve itu kepada Sky Sport Italia.

"Kami memberikan sedikit ruang kepada Bologna sehinggalah detik aksi menyelamat terakhir Mattia Perin. 

"Ini adalah satu keputusan yang penting kerana ini bermakna kami akan bertemu Napoli dengan kelebihan sekurang-kurangnya 13 mata. 

"Kami gembira untuk menyambut Napoli kerana ia merupakan ujian penting bagi kami sebelum membuat perhitungan dengan Atleti."

Juve diancam masalah kecederaan sehingga mendorong Allegri untuk mengetengahkan Joao Cancelo yang bermula di sayap kanan serta Federico Bernardeschi untuk memperkemaskan bahagian tengah.

Bagaimanapun, Allegri yakin beberapa pemain utama -- seperti Miralem Pjanic yang muncul sebagai pemain gantian pada lewat permainan meskipun mengalami masalah kesihatan di samping Douglas Costa -- akan cergas untuk menghadapi Napoli.

"Kami berharap untuk mendapatkan kembali khidmat beberapa pemain biarpun Douglas Costa mungkin satu-satunya (pemain yang tercedera) yang akan pulih (dalam masa terdekat)," kata Allegri.

"Pjanic mengalami batuk, bersin dan suhu badannya tinggi dalam masa seminggu ini. Saya sebenarnya sempat bertanya kepadanya sebelum dia dimasukkan hari ini sama ada dia boleh bernafas dengan sempurna dan dia menjawab ya.

"(Giorgio) Chiellini hanya beraksi separuh masa ketika menentang Frosinone selepas dilanda kecederaan betis, kemudiannya diturunkan di Madrid. Tahap kecergasan pasti akan bertambah baik dalam tempoh beberapa minggu akan datang."














 

Advertisement

Must Watch Video