Penyerang berpengalaman, Amri Yahyah, berharap jaringan sulungnya musim ini ketika menentang PKNS FC, Rabu lalu, menjadi titik kebangkitan untuk mencipta lebih banyak memori indah bersama pasukan baharunya, Melaka United.
Tidak boleh dinafikan, Amri, yang dilabel bintang berprofil besar negara, menggalas harapan cukup tinggi sejak tiba di Melaka.
Selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga perlawanan terdahulu, Amri mula mempamerkan karektor sebenar dengan jaringan kemenangan buat pasukan.
Enggan berasakan dirinya layak dijulang sebagai wira, Amri mahu kejayaan itu dilihat bukti kekuatan semangat berpasukan.
"Tiada tekanan kerana setiap pemain memberikan kerjasama yang tinggi.
"Walaupun kami tewas sebelum ini, kami berjaya memperbaiki perkara ini. Ini semua hasil kerjasama antara pemain. Mereka tahu tanggungjawab masing-masing," katanya.
Pada masa sama, Amri berharap perjalanan Melaka tidak terhenti setakat pusingan ketiga Piala FA.
Dia mahu impak kemenangan ke atas PKNS menjadi permulaan buat Melaka mengharungi musim ini dengan kejayaan.
"Saya bersyukur kami berjaya menang di laman sendiri untuk melangkah ke pusingan seterusnya. Saya berharap ini titik permulaan buat kami," tambahnya.