Skip to main content

Bola Sepak

Kematangan Sanchez julang Red Devils

alexis-sanchez-cropped_15khcxx23799z6x445610par.jpg
YEOVIL 0 MANCHESTER UNITED 4

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, memuji kematangan Alexis Sanchez di jentera serangan susulan penampilan pertamanya berjaya menghadiahkan kemenangan 4-0 dalam aksi Piala FA ke atas Yeovil Town, awal pagi tadi. 


Pemain Chile itu memperkemaskan aksinya selepas setengah jam di Huish Park untuk memainkan peranan dalam kedua-dua gol pembukaan United yang dicetak oleh Marcus Rashford dan Ander Herrera.

Jesse Lingard dan Romelu Lukaku kemudian menambah jaringan untuk memberikan kemenangan selesa kepada skuad kendalian Mourinho itu untuk menempah tempat dalam pusingan kelima.

Bekas pengurus Chelsea itu yang melanjutkan kontraknya sehingga 2020 minggu ini, berharap pemain muda seperti Rashford boleh belajar daripada naluri pembunuh Sanchez seperti ketika mencetuskan peluang gol kedua buat Herrera dalam situasi serangan balas. 

"Kehadirannya hebatnya," katanya kepada BBC Sport. "Seperti Ander, semua orang mengalu-alukannya di sini. Dia pemain hebat buat kami.

"Persoalannya siapa yang akan tersingkir tetapi ia bukan untuk kami. Kami mempunyai kumpulan penyerang yang hebat, kini kami mempunyai lebih pengalaman.

"Pemain seperti Marcus masih terlalu gugup untuk membuat keputusan seperti gerakan gol kedua itu. Dia (Sanchez) akan menawarkan kematangan tambahan kepada kami," katanya.

Yeovil, yang berjuang untuk bertahan dalam Liga Dua, melancarkan serangan agresif lalu mengundang kekaguman Mourinho dengan pendekatan profesional lawan. 

"Perlawanan ini sukar jika pendekatan tidak betul mahupun jika ia betul," katanya. "Pada babak pertama, mereka memberi kami tempoh yang sukar, memberi tekanan dan agresif termasuk fizikal.

"Saya dapat mendengar arahan (pengurus Yeovil) Darren Way dan dia tahu apa yang dikatakannya tetapi kami profesional dan mendahului 1-0. Kami menguasai permainan, kami memiliki ruang, lebih berkualiti dan kami membunuh permainan."

Sanchez bermula di sebelah kiri serangan United, namun sering melepasi pertahanan lawan. Sehubungan itu, Herrera berharap dia mampu membuktikan ancaman seperti itu di setiap posisi.

"Saya fikir dia boleh bermain di mana-mana sahaja," kata pemain tengah itu. "Dia seorang pemain yang hebat, sikap yang ditunjukkannya luar biasa, dia berjuang untuk setiap bola walaupun tidak kehilangan bola.

"Kami dan peminat akan menikmati permainannya.

"Tidak mudah untuk datang ke sini. Permainan seperti ini boleh menjadi rumit tetapi kami sangat gembira," ujar Herrera.

Lingard menambah: "Kami perlu memastikan karakter kami, ia akan menjadi permainan yang sukar tetapi semua orang bersedia untuk memberi impak."

Advertisement

Must Watch Video