Skip to main content

Bola Sepak

Kelibat Nwakaeme sukar dikekang -- Irfan

nwake.jpg
Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mengakui faktor awang import Pahang, Dickson Nwakaeme, menjadi pemisah tatkala pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh, menganggap skuad mantapnya musim ini masih belum sempurna walaupun garang membenam lawan 3-0 semalam.

Selepas cemerlang meledak dua gol ketika bertemu Kuala Lumpur dalam aksi pertama Liga Super 2019, Nwakaeme terus mencuri perhatian.

Kali ini, bekas pemain Angers SCO dalam Ligue 1 Perancis itu menyumbat satu gol dan melakukan satu bantuan jaringan dalam pertemuan setempat Pantai Timur bertemu Terengganu.

Mengutip tiga gol dalam tempoh 135 minit di atas padang, kelibat Nwakaeme diakui menjadi punca utama kekalahan skuad Penyu di Stadium Darulmakmur.

"Faktor Nwakaeme menjadi ketua di barisan depan Pahang membuatkan kami tidak dapat mengekang lawan. Cara pergerakannya sukar untuk dihalang," kata Irfan.

Lebih menarik, skuad Tok Gajah yang juga merupakan juara Piala FA 2018 sudah merekodkan enam gol walaupun baru beraksi dua perlawanan.

Bagaimanapun, Dollah enggan mendabik dada, sebaliknya mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki anak buahnya.

"Kalau nak dibandingkan dengan perlawanan sebelum ini menentang Kuala Lumpur, saya rasa aksi itu kami bermain dengan lebih baik. Semalam kami tampil bagus dalam babak pertama tetapi ada kekurangan selepas rehat," ujar Dollah.

Advertisement

Must Watch Video