BOLA SEPAK
Kelayakan Piala Asia B-23: Thailand ujian sebenar Harimau Muda -- Shahril
Pemain skuad B-23 negara diingatkan agar tidak terlalu selesa selepas melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Filipina dalam perlawanan kedua Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia B-23 2024 semalam.
Sebaliknya, pengurus Harimau Muda, Datuk Seri Shahril Mokhtar, menuntut pemain fokus kepada misi pasukan meraih keputusan positif berdepan Thailand dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Selasa ini.
Malah, tegas Shahril, hanya kemenangan akan menjamin kemaraan barisan muda negara ke temasya berprestij B-23 itu dan tidak perlu menempuh laluan yang sukar.
Iklan
“Alhamdulillah, pertama sekali syukur dan tahniah kepada semua pemain yang telah berusaha keras dalam memastikan kemenangan 4-0 pasukan negara.
“Kita akan bertemu pasukan pilihan kejohanan, Thailand, namun saya yakin semua pemain berada dalam keadaan yang bersedia.
"Saya percaya setiap pemain teruja dengan dua kemenangan sebelum ini dan bersemangat untuk memberikan saingan hebat kepada Thailand,” katanya.
Dalam pada itu, T. Saravanan, penjaring dua gol dalam perlawanan itu, memberi jaminan akan menampilkan aksi terbaik dalam pertemuan penting berkenaan.
“Kami mahukan kemenangan untuk mencerahkan peluang mara ke peringkat seterusnya.
"Saya juga ucapkan terima kasih kepada penyokong Harimau Muda yang sentiasa menyokong kami dalam mengharungi kempen ini,” katanya.
Skuad kendalian E. Elavarasan itu meneruskan rentak kemenangan dalam aksi kelayakan berkenaan apabila membelasah Filipina 4-0 di Stadium Chonburi, Thailand.
Kedua-dua pasukan tampil dengan satu misi, iaitu melebarkan dan memburu kemenangan dalam perlawanan kedua, yang mana sebelum ini Malaysia membuka tirai dengan kemenangan 2-0 ke atas Bangladesh manakala Filipina pula dibelasah Thailand, 5-0.
Angkatan Harimau Muda bimbingan Elavarasan tiada pilihan kecuali meraih tiga mata dengan jaringan besar dalam memastikan jajaran ke pusingan akhir di Qatar 2024 terus menyala.
Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, yang menyarung jersi Selangor FC, terlebih dulu meletakkan pasukan negara di depan seawal minit pertama.
Sebagai rekod, gol anak muda berusia 22 tahun itu juga merupakan gol terpantas dalam saingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 setakat ini.
Saravanan, bintang muda Kuala Lumpur City, kemudian menjadikan kedudukan 2-0 pada minit keenam sebelum gol minit ke-23 seorang lagi pemain Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar, menjadikan kedudukan 3-0.
Separuh masa kedua, bintang prolifik Harimau Muda, Luqman Hakim Shamsudin, digantikan dengan Najmudin Akmal Kamal Akmal selepas pemain KV Kortrijk itu mengalami kecederaan dalam babak pertama.
Saravanan sekali lagi menjadi duri dalam daging Filipina apabila pemain berusia 22 tahun itu melebarkan jaringan Harimau Muda dengan gol keempat pada minit ke-61 seterusnya jaringan kedua peribadi di Chanbori.
Kemenangan positif itu membolehkan Harimau Muda mengumpulkan enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.
Ujian karakter anak-anak buah Elavarasan akan diuji sepenuhnya apabila berdepan dengan pasukan pilihan, Thailand, dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Selasa ini.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video