Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Asia B-23: Harimau Muda buka kempen dengan kemenangan dramatik

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

harimau-muda-vs-bangladesh.jpg
MALAYSIA B-23 2 BANGLADESH B-23 0

Skuad B-23 negara membuka kempen kelayakan Piala Asia B-23 2024 dengan nota kemenangan apabila menewaskan Bangladesh 2-0 di Stadium Chonburi, Thailand sebentar tadi.

Dalam aksi pembukaan Kumpulan H itu, Aliff Izwan Yuslan dan Fergus Tierney menjaringkan dua gol skuad negara pada lewat permainan selepas kedua-dua pasukan kebuntuan gol sepanjang 80 minit pertama.

Malaysia terlebih dahulu menggegarkan gawang lawan menerusi percubaan Alif Ikmalrizal pada minit ke-43 tetapi jaringannya dibatalkan kerana dikesan berada di posisi ofsaid.

Ketika skuad negara kelihatan akan menamatkan saingan dengan satu mata, Aliff Izwan melepaskan rembatan jauh dari luar kotak penalti yang tepat menuju ke penjuru kanan atas gawang lawan pada minit ke-81.

Fergus turut membuktikan dia layak menyarung jersi kebangsaan apabila menggunakan kelebihan fizikalnya untuk melakukan gerakan solo menarik sebelum menjaringkan gol kedua Harimau Muda dalam waktu kecederaan.

Malaysia seterusnya akan berdepan Filipina pada Sabtu ini sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menghadapi tuan rumah, Thailand, tiga hari kemudian.

Sebagai rekod, hanya juara kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik akan layak ke kejohanan utama di Qatar pada April tahun depan.


 

Advertisement

Must Watch Video