Skip to main content

Bola Sepak

Kelab China tawar RM193.1j beli penyerang Villareal

cedric-bakambu.jpg
Cedric Bakambu hampir pasti akan menyertai Beijing Guoan selepas kelab Liga Super China (CSL) itu bersetuju dengan klausa pelepasannya sebanyak €40 juta (RM193.1j), demikian dedah jurulatih Villarreal, Javier Calleja.

Penyerang berusia 26 tahun itu berada dalam prestasi cemerlang bersama Villarreal musim ini -- meledak sembilan gol dalam 15 penampilan LaLiga.

Laporan mula berlegar sejak dua hari lepas dengan kesediaan Guoan membentangkan tawaran RM193.1j, angka yang sukar ditolak oleh Villarreal memandangkan ia mencapai klausa penebusan kontraknya.

Bercakap kepada pemberita, Calleja berkata: "Ia bukan perkara terbaik yang berlaku kepada kami.

"Namun, banyak kelab telah menyatakan minat dan dalam kes ini apabila mereka sanggup menebus kontrak, tidak banyak yang boleh kami lakukan."

Villarreal mendapati mereka di dalam kedudukan yang sama pada Januari tahun lalu yang menyaksikan Alexandre Pato berhijrah ke kancah CSL bersama Tianjin Quanjian dengan harga €18 juta (RM86.9j).

Bagaimanapun, sekiranya penjualan Bakambu direalisasikan, Villareal akan menikmati keuntungan luar biasa kerana mereka hanya membayar Bursaspor sekitar €7.4 juta (RM35.7j) untuk penggempur berkenaan pada Ogos lalu.

Spekulasi mencadangkan bahawa penyerang Everton, Sandro Ramirez, telah dikenal pasti sebagai pengganti berpotensi.
 

Advertisement

Must Watch Video