Skip to main content

Bola Sepak

Kejohanan AFC B-23: Malaysia bukan tandingan Iraq

malaysiab2310118.jpg
MALAYSIA 1 IRAQ 4

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee hanya mampu membuat satu kejutan gol menerusi Muhammad Safawi Rasid ketika dijinakkan Iraq 4-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, China, sebentar tadi.


Kelebihan fizikal, hantaran kemas, kelajuan dan taktikal semuanya jelas menjadi faktor membezakan pasukan negara teluk itu yang menguasai sebahagian besar perlawanan. 

Sepasang gol dalam separuh masa pertama menerusi Mohammed Khalid Jaffal Al-Jumaili pada minit kelima dan Amjed Attwan Kadhim pada minit ke-28 sudah membayangkan Malaysia bakal mengalami kekalahan teruk dalam kempen pertama mereka di pentas AFC.

Iraq memperagakan serangan tersusun sebelum menyaksikan satu hantaran Bashar Resan ke dalam kotak penalti Malaysia ditanduk deras Mohammed Khalid.

Jaringan kedua yang dihasilkan Amjed Attwan pula dilihat tidak begitu berbahaya apabila masuk melalui jangkauan penjaga gol negara, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim.

Sebelum jaringan itu, skuad bimbingan Abdul Ghani Shahad itu sudah menggegar jaring, namun gol Farhan Shakor dibatalkan kerana ofsaid.

Tidak lama selepas rehat, pemain tengah lawan, Hussein Ali Al-Saedi, melepaskan rembatan dari jarak dekat tetapi ia meluru tepat ke arah Ifwat pada minit ke-53.

Tiga minit kemudian, giliran Malaysia membuat percubaan menerusi Safawi yang membawa bola masuk ke dalam kotak penalti, bagaimananpun ia tidak mencemaskan tiga pertahanan Iraq yang mengawal baik keadaan.

Seperti sudah dijangka selepas menyaksikan penguasaan daripada Iraq, gol ketiga pasukan itu hadir daripada Alaa Ali Mhawi yang mengelirukan sekurang-kurangnya tiga pertahanan Malaysia.

Gol yang ditungu-tunggu Malaysia akhirnya tiba susulan kawalan baik Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang membuat lorongan untuk disudahkan Safawi menerusi rembatan rendah pada minit ke-79.

Dua minit kemudian, kesilapan Nor Azam Abdul Azih yang membuat hantaran ke belakang membolehkan Hussein Ali menyambar dan memaksa Ifwat berdepan satu lawan satu dengan pemain itu.

Hussein tidak berdepan masalah bagi melepasi Ifwat, sekaligus membuka ruang seluas-luasnya untuk disudahkan.

"Sudah tentu kami tewas kepada pasukan lebih baik. Kita dapat lihat banyak perbezaan terutama melibatkan kualiti individu. Saya percaya Iraq adalah satu pasukan yang seimbang," kata Kim Swee.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata: "Terima kasih kepada semua pemain tetapi saya akui ia bukan perlawanan mudah bagi kami hari ini."

Malaysia seterusnya akan bertemu Jordan dalam perlawanan kedua Kumpulan C di stadium sama, jam 4 petang, Sabtu ini.

Advertisement

Must Watch Video