Skip to main content

Bola Sepak

Kehilangan Wan Zack, Hasni tidak bimbangkan Azmi

1217azmi.jpg
Felda United enggan menekan butang kecemasan sekalipun kehilangan dua pemain utama, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Hasni Zaidi Jamian, untuk menghadapi aksi Liga Super menentang Kedah di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Sabtu ini.

Jurulatihnya, Azmi Mohamed, tidak berasa resah kerana masih memiliki beberapa pilihan lain di posisi sayap kanan untuk menggantikan tempat Wan Zack yang belum pulih daripada kecederaan.

Antara pemain yang disebut-sebut ialah bekas penyerang Perak, Fazrul Hazli Kadri atau Fakrul Aiman, yang beraksi bersama PDRM musim lalu.

Sementara itu, pemain muda, Wan Amirul Afiq Hasni, akan diberikan kepercayaan untuk menggantikan tempat Hasni yang mendapat kad merah ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), Jumaat lalu.

"Kami mempunyai dua, tiga pilihan. Kemungkinan kami akan menggunakan Fazrul (Hazli) atau Fakrul (Aiman). Kedua-dua pemain ini mempunyai karektor tersendiri dan mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.

"Saya percaya mereka akan membawa tugas ini dengan baik dalam perlawanan nanti," katanya.

Mengulas mengenai prestasi semasa Kedah, Azmi menasihati pemainnya agar lebih bijak menguasai emosi memandangkan lawan adalah sebuah skuad berpengalaman.

Tambahnya, kekuatan Kedah dilihat pada keserasian pemain yang telah bersama dengan skuad itu sejak sekian lama.

"Mereka tidak membuat banyak perubahan pada musim  ini dan kami melihat keserasian pemain mereka," katanya.

"Di situ kekuatan pasukan Kedah. Kami perlu bersedia menghadapi pasukan yang bersedia untuk mencari mata di tempat kami."

Felda, yang berada di bawah kendalian Azmi musim ini, berjaya memastikan kempen mereka bermula dengan langkah kanan selepas menewaskan PKNS 1-0.

Namun, The Fighters terpaksa akur apabila gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tewas 1-3 ketika bertemu JDT, Jumaat lalu.

Advertisement

Must Watch Video