Skip to main content

Bola Sepak

Kecederaan tangguh kemunculan Zaquan

101217zaquan.jpg
Skuad Kuala Lumpur menerima tamparan hebat menjelang sepak mula Liga Super bertemu seteru setempat, Selangor, apabila kehilangan penyerang utama, Zaquan Adha Abdul Radzak, ekoran kecederaan. 

Zaquan terpaksa berehat dua minggu, sekali gus bakal terlepas dua perlawanan awal musim ini. 

Perkara itu disahkan pengendali The City Boys, Fabio Maciel, selepas sesi latihan pasukan hari ini. 

Menurutnya, Zaquan sudah beberapa hari tidak menyertai latihan gara-gara kecederaan di bahagian jari kaki. 

Maciel mengakui ketiadaan bekas pemain Perak itu amat dirasai, apatah lagi berdepan antara pasukan terkuat, Selangor, Ahad ini. 

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah enam tahun lalu di Shah Alam dengan kemenangan berpihak kepada skuad Merah Kuning. 

"Jari kakinya dipijak pemain lawan ketika kami bertandang ke Indonesia bagi menghadapi pra-musim.

"Insiden itu membuatkan jarinya bengkak dan akan mengetepikannya kira-kira dua minggu," katanya. 

Ini bermakna Maciel bakal menyandarkan harapan kepada penyerang import, Guilherme De Paula, untuk mengemudi jentera serangan dalam aksi di Cheras nanti. 

Sementara itu, bekas jurulatih Timor Leste itu menegaskan kelebihan tidak memihak pasukannya biarpun lawan tampak dalam tekanan susulan dilanda isu gelanggang rasmi musim ini. 

"Selangor sebuah pasukan gergasi walaupun mungkin dalam tempoh beberapa tahun ini mereka bergelut dengan masalah.

"Kami telah membuat persiapan rapi dan saya perlu menentukan kesebelasan terbaik agar kami dapat mengharungi permainan dengan baik," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video