Pep Guardiola berkata kecederaan yang dialami kapten Manchester City, Vincent Kompany, tidak serius.
Kompany sering dihimpit masalah kecederaan betis dalam tempoh beberapa musim ini dan memulakan saingan musim baru di bangku simpanan selepas melalui pembedahan.
Pemain berusia 30 tahun itu kemudian mengalami kecederaan ligamen selepas terlibat dalam perlanggaran dengan penjaga gol, Claudio Bravo, di Crystal Palace, November lalu.
Bek tengah Belgium itu sekadar memanaskan bangku simpanan dalam tiga perlawanan liga sebelum ini, namun dijangka beraksi dalam pusingan kelima Piala FA berdepan Huddersfield Town.
Malangnya, Kompany tidak tersenarai dalam aksi seri 0-0 di Stadium John Smith, yang meresahkan Guardiola ketika sidang media sebaik tamat perlawanan, malam tadi.
"Dua hari lalu, dia berasa sesuatu di kakinya," ujar Guardiola.
"Saya tidak rasa ia serius, kecederaannya sama seperti dialami Gael Clichy."
City akan kembali beraksi pada Selasa dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah berdepan Monaco di Etihad sebelum menerima kunjungan anak buah David Wagner dalam perlawanan ulangan Piala FA tujuh hari kemudian.