Skip to main content

Bola Sepak

Kebangkitan lewat Aston Villa padam hatrik Sharp

andregreen.jpg
ASTON VILLA 3 SHEFFIELD UNITED 3

Sheffield United terlepas peluang untuk menduduki tangga teratas Liga Kejuaraan selepas kebangkitan saat-saat akhir Aston Villa menyaksikan aksi di Villa Park itu berakhir seri 3-3, awal pagi tadi.


Billy Sharp hampir menjadi wira pelawat apabila melengkapkan gol ke-100 buat Sheffield sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-62 dengan menyudahkan hantaran lintang Kieran Dowell yang terbias.

Keputusan kekal 3-0 hingga lapan minit terakhir perlawanan dengan penjaga gol pelawat, Dean Henderson, gagal mengeluarkan sepakan penjuru Conor Hourihane untuk membiarkan Tyrone Mings menanduk masuk gol pertamanya buat Aston Villa.

Henderson sekali lagi melakukan kesilapan empat minit kemudian apabila tindakkannya menerjah ke arah Tammy Abraham mengundang padah selepas pemain itu menjaringkan gol kedua Villa dengan menolak bola ke arah "far post" gawang Sheffield.

Kesilapan berterusan skuad kendalian Chris Wilder itu memadam kelebihan mereka pada minit ke-94.

Jack O'Connell gagal menyepak kemas bola yang dimanfaatkan John McGinn untuk melakukan hantaran yang kemudian disudahkan Andre Green.

Keputusan seri itu menyaksikan Sheffield kini ketinggalan dua mata di belakang dua pasukan teratas, Norwich City dan Leeds United, manakala Sharp kini memintas Abraham dalam perebutan gelaran penjaring terbanyak musim ini.

Pemain berusia 33 tahun itu menjaringkan gol dari jarak dekat pada minit ke-11 selepas Gary Madine menanduk bola sepakan penjuru Oliver Norwood ke arahnya.

Jaringan kedua Sharp, bagaimanapun, mengundang kontroversi apabila dia dilihat seakan-akan berada dalam kedudukan ofsaid sebelum menewaskan Lovre Kalinic yang hampir-hampir dapat menahan rembatan deras itu.

Advertisement

Must Watch Video