Skip to main content

Bola Sepak

Kami mahu mendominasi, kata Lukaku ketika United cipta rekod

romelulukaku.jpg
Romelu Lukaku berkata Manchester United mahu mendominasi selepas dua jaringannya membantu The Red Devils mencipta rekod baru dengan lapan kemenangan berturut-turut di laman lawan.

Lukaku menamatkan kemarau jaringan sepanjang lapan perlawanan ketika United -- yang kehilangan ramai pemain utama ekoran kecederaan -- menewaskan Crystal Palace 3-1 di Selhurst Park, awal pagi tadi.

Kali terakhir United tewas di gelanggang lawan adalah ketika mereka kecundang di tangan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris di Anfield, Disember lalu -- perlawanan terakhir Jose Mourinho sebagai pengurus.

"Kami mahu mendominasi. Kami mahu menjaringkan lebih banyak gol dan tidak mahu dibolosi. Kami kini memperoleh penguasaan permainan," katanya kepada BBC Sport.

"Luke Shaw adalah pemain terbaik kami musim ini dan saya gembira kerana dia melakukan hantaran yang membantu jaringan pertama saya.

"Apabila pemain yang tercedera kembali, mereka akan memberi kekuatan tambahan buat pasukan.

"Pasukan ini merupakan pasukan yang amat kuat," katanya.

Ashley Young, yang memakai lilitan kapten, memastikan kemenangan United menerusi jaringan pada tujuh minit terakhir perlawanan bagi mematikan kebangkitan Palace.

Joe Ward merapatkan kedudukan pada minit ke-66 selepas Lukaku menjaringkan gol dalam setiap separuh masa.

United, yang kini di tangga kelima liga dengan satu mata di belakang Arsenal, tidak pernah tewas dalam Liga Perdana Inggeris sejak Ole Gunnar Solskjaer menggantikan Mourinho.

"Sebahagian daripada perlawanan ini amat sukar, terdapat ruang yang boleh dimanfaatkan tetapi kami menyukarkan diri sendiri," kata Young selepas perlawanan.

"Saya menyalahkan diri saya ketika mereka menjaringkan gol, saya sepatutunya dapat mengeluarkan bola itu.

"Namun, saya menebusnya dengan jaringan.

"Kami berdepan dengan krisis kecederaan.

"Ia menyukarkan kami, namun kami memiliki skuad yang mantap.

"Kami mahu selalu memenangi perlawanan dan mengekalkan keyakinan seperti ini," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video