"Jentera serangan Perak perlu dipertajam jika ingin memastikan kejayaan dalam saingan Liga Super musim ini."
Pandangan itu disuarakan penjaga gol utama pasukan The Bos Gaurus, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, selepas mereka seri 1-1 dengan Felda United di Stadium Perak, semalam.
Pemain kebangsaan itu yakin pasukannya mampu bangkit mempamer aksi cemerlang jika penyudah lemah Perak tiada masalah sambil menegaskan barisan depan masih memiliki keupayaan mantap.
Walaupun mengakui kecewa Perak gagal memanfaatkan kelebihan di gelanggang sendiri, pemain itu berkata rakan sepasukan sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengusahakan kemenangan.
"Kami mencipta peluang tetapi gagal diterjemahkan menjadi gol.
"Jika kepincangan ini dapat diatasi, saya yakin kami mampu berada bersama pasukan kelompok atas," katanya.
Sehubungan itu, Hafizul belum cemas dengan kedudukan di tangga kesembilan pasukan Yob itu kerana masih awal.
"Banyak lagi perlawanan kerana kami baru bermain tiga kali.
"Jadi tidak ada sebab untuk panik. Saya yakin Perak akan berada di tempat sebenar selepas beberapa perlawanan lagi."
Perlawanan Perak seterusnya dalam Liga Super adalah aksi bertemu Terengganu di Kuala Terengganu, Jumaat depan.