Skip to main content

Bola Sepak

Jelius harap pemain belajar daripada kekalahan lalu

sabah-140717.jpg
Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, berharap anak buahnya belajar daripada kekalahan lalu untuk bangkit mengembalikan rentak kemenangan apabila berdepan Kelab Bola Sepak Universiti Teknologi Mara (UiTM FC) di Stadium UiTM, Shah Alam, hari ini.

Katanya, analisis telah dibuat berdasarkan aksi pasukan berkenaan dalam perlawanan sebelum ini dengan beberapa kelemahan dikenal pasti.

"Kami telah menonton semula rakaman perlawanan-perlawanan Sabah sebelum ini untuk perbandingan bagaimana mereka beraksi semasa mencatat kemenangan dan ketika kalah.

"Kami membuat analisisis dan mengadakan perbincangan bersama pemain. Saya harap ada perubahan positif kerana kami masih dalam kedudukan perlukan kemenangan untuk menjauhkan diri daripada zon penyingkiran," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Jelius berkata, Sabah perlu mencatat kemenangan dalam aksi bertemu UiTM FC bagi mengelak terjerumus ke zon penyingkiran kerana pasukan di bawah juga sedang berusaha mengejar mereka.

"Kami perlu jarakkan diri dengan pasukan di bawah, kami kena memenangi perlawanan ini walau dengan apa cara sekalipun.

"Selain itu, kemenangan juga penting bagi menyuntik moral serta mengembalikan keyakinan pemain selepas dikecewakan PKNP FC di gelanggang sendiri, Isnin lalu," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Sabah bakal beraksi dengan hanya menggunakan tiga pemain import berikutan kecederaan yang dialami pemain tengah dari Korea Selatan, Heo Jaenyong.

Bagaimanapun, pasukan yang mendapat jolokan Sabah Rhinos itu bakal diperkuatkan semula dengan kehadiran Maxsius Musa yang mengalami kecederaan sebelum ini serta Mohd Azzizan Nordin yang selesai menjalani penggantungan perlawanan.

Advertisement

Must Watch Video