Skip to main content

Bola Sepak

JDT tebus kekecewaan di Larkin

210217jdt15d2c80a3d81604aa734ff0000212b38.jpg
Perlawanan pembuka tirai kempen Piala AFC menyaksikan juara 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT), bermula garang apabila melakar kemenangan 3-0 ke atas Boueng Ket Angkor di Larkin, malam ini.

Ia sedikit-sebanyak menebus kekecewaan JDT yang tersingkir dalam playoff Liga Juara-Juara Asia gara-gara kekalahan 3-0 kepada Gamba Osaka, 7 Februari lalu.

Malah, ia mengembalikan skuad Harimau Selatan itu ke landasan kemenangan selepas tunduk 2-1 kepada Perak dalam saingan Liga Super di Ipoh minggu lalu.

JDT tidak menunggu lama sebelum membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Gabriel Guerra.

Tersentak, Boeung Ket tidak berdiam diri dan mengasak kubu pertahanan JDT, namun percubaan pasukan Kemboja itu berjaya dinafikan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi.

Belum sempat Boeung Ket bangkit, Nazmi Faiz pula menyempurnakan hantaran S. Kunanlan bagi menggandakan jaringan JDT untuk menjadikan kedudukan 2-0 sebelum tamat separuh masa pertama.

Masuk babak kedua, saingan terus sengit dan peluang terbaik Boeung Ket muncul pada minit ke-75, namun gagal membolosi gawang JDT.

Kemenangan selesa JDT dilengkapkan oleh kapten pasukan, Safiq Rahim, selepas menanduk masuk hantaran silang Brian Cabrera pada masa kecederaan.

Sementara itu, penampilan pertama Felda United dalam kancah saingan Piala AFC bermula dengan langkah kiri apabila tewas kepada kelab dari Singapura, Tampines Rovers 2-1.

Bagaimanapun, ia bukanlah persembahan sebenar skuad The Fighters rentetan isu ketiadaan jurulatih sebenar tetapi ia mampu menjadi pengajaran berguna buat mereka ketika bersaing dalam kejohanan lebih kompetitif.

Tampines juga sebenarnya tampak sukar menembusi benteng Felda United apabila gagal menjaringkan gol sepanjang babak pertama.

Gol pertama perlawanan hadir pada minit ke-64 apabila tandukan Son Yong Chan berjaya menewaskan penjaga gol Felda, Farizal Harun.

Khairul Amri Kamal menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-83 untuk Tampines selesa di depan.

Pada minit ke-86, Fazrul Hazli bertindak cemerlang melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti menewaskan Izwan Mabud untuk memberikan gol saguhati buat Felda.

Advertisement

Must Watch Video