Skip to main content

Bola Sepak

Isu gaji tertunggak: Pemain tetap komited jalani persiapan hadapi UiTM

amiridzwan-taj-perlis.jpg
Skuad Perlis tetap meneruskan sesi latihan hari ini di sebalik isu tunggakan gaji yang kini memasuki bulan kedua.

Sebelum ini, pengurusan pasukan menetapkan tarikh 7 Februari (hari ini) sebagai tempoh akhir bagi melunaskan tunggakan berkenaan.

Begitupun, sumber yang rapat dengan pengurusan mendedahkan mereka menetapkan sehingga esok, iaitu sebelum sepak mula aksi menentang UiTM FC, bagi pengurusan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) menyelesaikan perkara berkenaan.

Menurut salah seorang pemain Perlis, Amiridzwan Taj Tajuddin, suasana dalam pasukan ketika ini masih lagi kukuh dan komited dengan tanggungjawab masing-masing.

Namun, dia tidak menafikan setiap pemain mempunyai hak mereka sendiri andai meninggalkan pasukan itu.

"Berkenaan laporan yang mengaitkan ada pemain Perlis mahu berhijrah, saya tidak tahu-menahu dan ia adalah hak masing-masing. 

"Masing-masing faham tentang kontrak.

"Kami masih komited dan memberikan komitmen terbaik dalam sesi latihan terakhir," kata pertahanan itu. 

Ini bukan kali pertama Amiridzwan dibelenggu masalah tunggakan gaji kerana sebelum ini dia mengalami nasib yang serupa bersama Kelantan.

Namun, dia masih mengharapkan satu penyelesaian terbaik dapat dicapai oleh pengurusan pasukan, sekaligus melupakan episod hitam ini demi kelangsungan kariernya.

"Sejujurnya, saya sudah 10 bulan tidak bergaji, termasuk ketika bersama Kelantan yang masih belum diselesaikan. 

"Mana tahu masih ada pasukan lain yang masih sudi mendapatkan khidmat saya, oleh itu saya mahu pastikan memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan," jelasnya. 
 

Advertisement

Must Watch Video