Skip to main content

Bola Sepak

Irfan tetap puas hati kutip satu mata

irfan-bakti-010717.jpg
Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Bagi Irfan, anak-anak buahnya bermula buruk pada 15 minit pertama dan jentera tengah pasukan itu gagal berfungsi dengan baik.

“Dua gol dibolosi dengan begitu mudah, mujurlah kami mempamerkan kebangkitan dalam separuh masa kedua,” katanya.

JDT II hanya memerlukan empat minit untuk mendahului menerusi tandukan Alaxender Moreton Smith hasil sepakan penjuru ketua pasukan, Nicolas Alberto Fernandes.

Pada minit ke-10, pelawat terus selesa selepas percubaan Muhd Syazwan Andik Mohd Ishak terbias daripada seorang pemain Terengganu sebelum menerjah jaring untuk gol kedua pasukan pelawat itu.

Tersentak dengan dua gol itu, tuan rumah melancarkan asakan, namun hantaran Mohd Faiz Nasir (m-25) gagal disudahkan dengan baik oleh penyerang, Kipre Tchetche.

Peluang terbaik Terengganu terus menyusul pada minit ke-38 selepas Tchetche melepasi perangkap ofsaid tetapi rembatannya tinggi melepasi pintu gol lawan.

Seminit bersambung dalam babak kedua, Terengganu merapatkan defisit jaringan hasil sentuhan penyudah Mohd Faiz yang menyambung sepakan Tchetche.

Tchetche terus memainkan watak penting pada minit ke-50 apabila bijak melepaskan bola kepada J. Partiban untuk menewaskan Somuel Somerville buat kali kedua.

Somerville menjadi penyelamat JDT II selepas itu, dengan menggagalkan sekurang-kurangnya tiga percubaan tepat Tchetche bagi menafikan hasrat penyerang Sang Penyu itu mendapatkan gol pada penampilan sulungnya.

Gerakan menarik Tchetche (m-81) juga hampir memberikan gol kemenangan Terengganu selepas meloloskan diri daripada empat pemain lawan, namun sentuhan akhir pemain itu gagal menemui sasaran.

“Selepas perlawanan bersambung, kami memberi lebih tekanan kepada pemain lawan, terutama Alaxender (Moreton Smith) yang menggerakkan serangan mereka.

“Dengan deretan peluang terhidang, Terengganu seharusnya menang perlawanan ini dan secara keseluruhannya saya berpuas hati, terutama persembahan dalam babak kedua,” tambah Irfan lagi.

Terengganu tergelincir ke kedudukan keempat dan dipintas dua pencabar terdekat, Kuala Lumpur serta  Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), yang mengatasi lawan masing-masing.

Turut melebarkan penguasaan ialah pendahulu liga, Negeri Sembilan yang mengalahkan Perlis.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video