Skip to main content

Bola Sepak

Ia mengarut! -- Messi salahkan pengadil selepas tersingkir

lionel-messi.jpg
Dengan perasaan marah, Lionel Messi mengkritik mutu pengadilan selepas Argentina dinafikan dua sepakan penalti sebelum tewas kepada Brazil dalam separuh akhir Copa America di Belo Herizonte, hari ini.

Gol daripada Gabriel Jesus dan Roberto Firmino menyaksikan Brazil ke final hasil kemenangan 2-0.

Bagaimanapun, Argentina menghasilkan dua percubaan yang terkena palang gol daripada Sergio Aguero dan Messi serta dua kali dinafikan daripada memperoleh sepakan penalti.

Nicolas Otamendi dijatuhkan dengan keras oleh Arthur susulan satu sepakan penjuru manakala Aguero turut dijatuhkan dalam kawasan penalti oleh Dani Alves sebelum Firmino menjaringkan gol kedua Brazil.

Messi berasakan Argentina sepatutnya memperoleh dua sepakan penalti itu dengan Video Bantuan Pengadil (VAR) -- yang menjadi tajuk utama sepanjang Copa America edisi ini -- tidak digunakan pengadil.

"Mereka bukanlah pasukan yang lebih baik daripada kami. Mereka menemui jaringan lebih awal dan gol kedua sepatutnya datang daripada sepakan penalti (kepada Aguero), namun mereka tidak memberikannya.

"Mereka (pegawai perlawanan) telah melakukan banyak keputusan yang mengarut dan mereka langsung tidak menggunakan VAR. Ia amat luar biasa.

"Ia sentiasa berlaku sepanjang perlawanan.

"Setiap kali ada sentuhan, mereka akan berpihak kepada Brazil dan perkara-perkara mengarut seperti ini amat mengganggu perlawanan.

"Tiada alasan untuk kami, namun kita perlu menilai semula perkara ini dan perlu berharap CONMEBOL akan melakukan sesuatu," katanya.

Messi, yang masih ternanti-nanti trofi pertamanya di peringkat senior bersama Argentina, memuji prestasi pasukannya ketika menentang Brazil.

"Saya berasakan yang kami telah beraksi dengan baik. Kami telah melakukan usaha yang baik dan mereka tidak dapat menguasai kami.

"Jika saya perlu membantu dari mana-mana sekalipun, saya akan melakukannya.

"Saya amat berbangga dengan pasukan ini," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video