Bukan lawan yang setaraf.
Iraq mengucapkan selamat tinggal apabila mencatatkan kekalahan kedua dalam saingan Kumpulan I Piala Dunia 2026, sekali gus berpotensi menjadi gergasi Asia pertama tersingkir dalam kejohanan bola sepak paling berprestij itu sebentar tadi.
Singa Mesopotamia menjadi pasukan keempat selepas Haiti, Turkiye dan Tunisia untuk melupakan hasrat ke pusingan seterusnya susulan gagal mengutip sebarang mata setakat ini.
Secara matematiknya, selepas mata terkumpul, perkiraan terkini menggunakan sistem head-to-head (H2H) diguna pakai, dengan perbezaan gol yang besar bakal memusnahkan harapan Iraq. Ini termasuk dengan kemenangan besar Norway ke atas naib juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), Senegal, telah mematikan impian Iraq.
Juara edisi 2018, Perancis, mudah membenam lawan 3-0 hasil dua jaringan Kylian Mbappe dan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele.
Kedua-dua pasukan harus menunggu lebih dari satu jam untuk menyambung semula permainan babak kedua berikutan cuaca buruk melanda sekitar Philadelphia, Amerika Syarikat (AS).
France beat Iraq 3-0 to book their place in the round of 32.
A pitch-perfect performance by Les Blues 🎶 pic.twitter.com/aI1bIP8eI8— B/R Football (@brfootball) June 23, 2026
Tonggak Real Madrid itu terus menjadi sandaran Les Blues merobek gawang Iraq dengan membuka tirai jaringan hasil hantaran Michael Olise pada separuh masa pertama.
Selepas memulakan semula perlawanan usai cuaca beransur pulih, skuad kendalian Didier Deschamps terus bernafsu untuk menggandakan kelebihan dengan Mbappe sekali lagi mengukir nama selaku penjaring kedua.
Dembele kemudiannya melengkapkan kemenangan kedua Perancis, sekali gus mengesahkan slot ke peringkat kalah mati. Ini merupakan gol pertamanya sejak beraksi dalam 13 perlawanan Piala Dunia sepanjang kariernya.