Kapten Besiktas, Oguzhan Ozyakup, membidas tingkah laku penyerang Fenerbahce, Robin van Persie, tatkala 'lakonannya' menyebabkan Dusko Todic dilayangkan kad merah.
Berang dengan kejadiaan itu, Ozyakup -- yang berkawan baik dengan Van Persie di luar padang -- mengumumkan bahawa persahabatan mereka sudah berakhir.
Ozyakup dan Van Persie mengenali satu sama lain ketika di Arsenal selepas penyerang Belanda itu membantunya untuk menyesuaikan diri di London.
Bagaimanapun, ketika pertemuan hangat dalam aksi Piala Turki semalam, kedua-dua pemain dilihat terlibat dalam pergaduhan beberapa kali ketika perlawanan berlangsung.
Ketika perlawanan memasuki minit ke-42, Van Persie dilihat telah mengasari Todic dengan menendang dan menyiku pemain itu.
Berang dengan insiden itu, Todic meluru ke arah Van Persie dan tidak semena-mena bekas penyerang Manchester United itu merebahkan badannya lalu menyebabkan pengadil melayangkan kad merah kepada Todic.
Insiden tersebut mencetuskan kemarahan Ozyakup yang pergi menegur tindakan Van Persie.
Kemudiannya, Van Persie selepas meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-72, dengan sengaja berlari ke arah Ozyakup dan meraikan jaringan tersebut di hadapan pemain itu sambil melaungkan sesuatu ke arahnya.
Sebaik tamat perlawanan, Ozyakup berkata: "Ada banyak perkara yang saya mahu katakan di atas padang tetapi saya tidak akan mengulas mengenainya.
"Cuma satu perkara, saya mempunyai hubungan baik dengan salah seorang pemain pasukan lawan tetapi hubungan itu berakhir hari ini.
"Kadang-kala kamu akan dapat melihat perangai sebenar seorang pemain di atas padang."
Sementara itu, ketika Van Persie di temu bual media, dia mempertahankan tindakannya di samping menegaskan bahawa Todic wajar dilayangkan kad merah.
"Ketika itu saya hanya cuba mencari ruang, dia (Todic) menghalang laluan saya, kemudian kami bergelut. Dia memberi reaksi negatif dan itu salahnya sendiri.
"Dia perlu menjaga perangainya. Kemudian dia menghantuk kepala saya, jadi pada saya dia wajar dibuang padang," katanya.