Skip to main content

Bola Sepak

Hodak berdepan ujian gilap skuad remaja

bojan-hodak-020917.jpg
Mentah di peringkat antarabangsa dan kurang berpengetahuan dalam aspek taktikal -- dua faktor itu mungkin menjadi penghalang kepada barisan pemain muda negara untuk menyerlah dalam Kejohanan AFF B-18 di Yangon, Myanmar, bermula Isnin ini. 

Bojan Hodak yang diberi peranan mengendalikan pasukan muda negara mengakui tugas berat sedang menantinya selepas hanya diberi masa dua minggu untuk membentuk pasukan. 

Tambahan pula, kebanyakan pemain terdiri daripada skuad Piala Presiden dan Piala Belia, justeru Hodak sedar dia perlu berusaha lebih keras dalam mendidik mereka, terutama dalam pengetahuan taktikal. 

Dia tidak mahu pemainnya diberi bebanan tinggi di Yangon kerana tumpuan utama mereka ialah dalam pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Korea Selatan, bulan depan. 

"Kebanyakan pemain generasi ini tidak begitu didedahkan di peringkat antarabangsa seperti pasukan remaja negara sebelum ini. 

"Ini bukan pemain daripada skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), mereka ini adalah golongan umur pemain yang terperangkap di antara perancangan PPBN dan skuad B-19. 

"Peluang pendedahan mereka di peringkat antarabangsa sangat terhad," kata jurulatih skuad B-19 negara itu.  

Dalam masa sama, Hodak mempertahankan bahawa dia masih individu yang tepat untuk melatih skuad B-19 negara kerana pernah bekerja dengan sekumpulan pemain muda semasa bersama UPB-MyTeam pada 2007. 

"Kelab pertama saya di Malaysia adalah MyTeam. Kami mengharungi kempen Liga Super dengan pemain yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 20 tahun. 

"Kemudian, 12 daripada mereka dipanggil menyertai skuad kebangsaan. 

"Di peringkat umur seperti ini, mereka perlu bekerja keras dan kami perlu mencari lebih ramai lagi pemain."

Di Yangon, peluang skuad negara untuk mara ke separuh akhir diramal cerah apabila diletakkan dalam Kumpulan A di samping Thailand, Timor Leste, Laos, Kemboja dan Singapura. 

 

Advertisement

Must Watch Video