Skip to main content

Bola Sepak

Harimau Selatan terus gah di persada liga

jdt-150717.jpg
Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan di takhta Liga Super 2017 selepas menewaskan Sarawak 3-1 dalam aksi di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Beraksi di gelanggang sendiri, JDT melakukan dua pertukaran daripada kesebelasan utama ketika menewaskan Pahang 2-0, Selasa lepas, apabila menggantikan Amirulhadi Zainal dan Mohd Azrif Nasrulhaq dengan Muhammad Afiq Fazail dan Hasbullah Abu Bakar.

Skuad kendalian Ulisses Morais itu memulakan perlawanan dengan agresif apabila sering melakukan asakan menggunakan rangkaian serangan Mohammed Ghaddar, Gabriel Guerra dan Gonzalo Cabrera.

Usaha itu membuahkan hasil ketika permainan berusia 11 minit apabila Ghaddar bijak melepaskan rembatan kaki kiri untuk menewaskan penjaga gol Sarawak, Aidil Mohamad, untuk JDT mendahului 1-0.

Bagaimanapun, pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63 selepas Mohamad Sahil Suhaimi bijak menyempurnakan hantaran lintang Milos Raickovic dari sebelah kiri pintu gol JDT.

Ghaddar sekali lagi meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-75 sebelum pemain gantian, Safawi Rasid, menjarakkan kedudukan untuk tuan rumah terus selesa mendahului.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat, sekaligus mengekalkan JDT kekal di tangga teratas Liga Super 2017 dengan 39 mata, 11 mata mendahului Kedah di tangga kedua liga.


KEPUTUSAN LAIN:

Felda United  5-1  T-Team

Kedah  1-1  Selangor

Kelantan  0-2  Perak

Melaka United  2-3  Pulau Pinang 

PKNS FC  1-3  Pahang


Gambar kredit: Facebook Johor Southern Tigers

 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video