Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola: Tekanan terarah kepada Manchester City, bukan Liverpool

aguero.jpg
Manchester City mungkin merapatkan jurang kepada dua mata dengan pendahulu liga, Liverpool, selepas menundukkan Arsenal 3-1 awal pagi tadi tetapi Pep Guardiola berkata tekanan kini terarah kepada pasukannya.

City ditimpa kekalahan mengejut di tangan Newcastle United minggu lalu dan memandangkan Liverpool meraih keputusan seri berdepan Leicester City, The Reds mempunyai kelebihan lima mata di puncak liga.

Bagaimanapun, City selaku juara bertahan menggunakan kesempatan di laman sendiri awal pagi tadi untuk meraih kemenangan 3-1 tatkala Sergio Aguero mencipta hatrik ke-10 liga buat kelab.

Namun, walaupun meraih tiga mata, Guardiola berpendapat Liverpool tidak tertekan untuk berdepan cabaran West Ham awal pagi esok.

"Saya lebih gemar berada dalam kedudukan Liverpool berbanding apa yang dihadapi ketika ini," kata Guardiola.

"Tekanan wujud apabila anda di belakang. Jika anda tewas, ia lebih sukar. Apabila anda mendahului dengan kelebihan mata, anda tetap di situ walaupun mencicirkan mata."

Bekas pengendali Barcelona itu tetap berharap dapat memintas skuad bimbingan Jurgen Klopp itu tatkala mereka memasuki tempoh beberapa bulan terakhir bagi kempen musim ini.

"Sudah tentu kami perlu menang dalam banyak perlawanan," tambah Guardiola.

"Selepas tewas di tangan Newcastle, semua menjangkakan kami akan ketinggalan tujuh mata kerana memikirkan Liverpool akan menewaskan Leicester.

"Banyak perkara berlaku sekarang dan akan datang. Ia akan sukar kerana bola sepak tidak boleh diagak. Hari ini mungkin hanya kami berdua, esok mungkin akan melibatkan tiga atau lima pasukan.

"Saya tidak memikirkan Klopp dan pemain. Setiap kali sidang media, anda berkata 'berikan tekanan buat Liverpool'. Saya tidak tahu. Kami harus menjadi diri sendiri. Itu adalah sasaran utama yang ingin kami capai, memenangi setiap perlawanan.

"Saya tidak nafikan kami mahu West Ham mengatasi Liverpool. Itu sudah tentu tetapi Liverpool juga mengharapkan Arsenal menewaskan kami. Itu normal. Namun, saya tidak terkesan dengannya."

Advertisement

Must Watch Video