Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola salahkan jadual padat punca krisis kecederaan

guardiola.jpg
Pep Guardiola mengatakan jadual padat Manchester City telah menyumbang kepada kecederaan Fernandinho dan Aymeric Laporte.

Dengan Gabriel Jesus dan John Stones sudah pun diketepikan, Laporte dan Fernandinho kedua-duanya tercedera dalam perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Chelsea, awal pagi tadi. 

Permainan akan menjadi sengit dan pantas buat skuad kendalian Guardiola itu yang dicabar hebat untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selain masih dalam saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara (UCL). 

Kecederaan yang menimpa Fernandinho mungkin sangat mahal harganya memandangkan City tidak mempunyai pengganti semula jadi untuk mengisi peranan pemain tengah berpengalaman berkenaan yang dijangka akan tersisih selama beberapa minggu. 

Setelah memimpin City untuk mempertahankan gelaran utama buat julung kalinya dalam sejarah kelab itu, Guardiola merungut mengenai jumlah perlawanan yang terpaksa diharungi mereka.

"Biasanya dalam liga Eropah yang lain, terdapat hanya satu pertandingan merebut piala, di sini ada dua," katanya. "Pada permulaan musim ini, peluang terbuka untuk semua pemain mendapatkan rentak dan peluang beraksi, namun untuk mengharungi banyak kejohanan, ia sangat sukar.

"Begitupun, ini adalah perkara biasa apabila pemain terbabit dalam banyak perlawanan, kudrat mereka dikerah. Lihatlah situasi Manchester United hari ini, oleh itu Manchester City turut tidak terkecuali. 

"Keadaan padang juga tidak begitu baik, cuaca, malah bola juga, dalam keadaan tidak begitu baik. Sebab itulah pemain boleh terjatuh. 

"Pada awalnya saya kagum kerana kami mengharungi permainan tanpa kecederaan tetapi ia tetap berlaku juga."

Tambahnya: "Perlawanan kurang sedikit kalau di negara lain. Kami akan menghadapi Schalke dengan kehilangan pemain utama tetapi saya masih menaruh kepercayaan terhadap kemampuan skuad kami. Kami akan dapat mencari jalan penyelesaiannya. 

"Laporte berasakan sesuatu yang tidak kena ketika penghujung babak pertama manakala Fernandinho pula mengadu masalah otot, jadi saya fikir dia akan diketepikan untuk beberapa minggu."

Terdahulu, Liverpool berkongsi satu mata dengan Manchester United apabila seri 0-0 dalam Liga Perdana selepas perlawanan itu juga diselubungi oleh kecederaan yang menimpa kem United apabila kehilangan Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard sebelum separuh masa, sementara pasukan kendalian Jurgen Klopp itu terpaksa menggantikan Roberto Firmino.

Begitupun, Liverpool kekal sebagai pendahulu liga dan pada pendapat Guardiola, jurangnya terlalu kecil dengan baki 11 perlawanan.

"Saya tahu ada tiga kecederaan tetapi saya tidak menontonnya (aksi Man Utd-Liverpool)," kata Guardiola.

"Mereka masih mendahului, mereka masih merupakan pasukan pilihan tetapi jangan terlalu memikirkan tentang mereka.

"Kami akan menjalani pemulihan pemain dan memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya: kami akan beraksi pada Khamis ini disusuli aksi dengan Bournemouth (Sabtu)."


 

Advertisement

Must Watch Video