Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola puji Aguero cipta hatrik benam Arsenal

agueroguardiolacropped_iseerl2fvmwl1lxwemrdbv0tv.jpg
Pep Guardiola memuji Sergio Aguero selepas jaringan hatrik penyerang itu memastikan kemenangan 3-1 Manchester City ke atas Arsenal awal pagi tadi, sekali gus meletakkan juara bertahan liga itu kembali di landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan.

Selepas menyumbat gol ketika aksi berusia 24 saat sewaktu ditewaskan Newcastle United minggu lalu, Aguero memecah kebuntuan dalam tempoh 46 saat di Etihad, awal pagi tadi.

Laurent Koscielny menyamakan kedudukan untuk Arsenal tetapi Aguero menambah dua lagi gol untuk meletakkan City kini dua mata di belakang pendahulu, Liverpool, dan Guardiola jelas berbesar hati.

"Semua orang tahu tentang jaringan Aguero," kata pengurus City itu.

"Penting untuk bagaimana anda berjuang, jadi saya rasa dia sangat hebat. Saya tahu dia bukan pemain yang berlari seperti Gabriel Jesus atau Bernardo Silva tetapi dia mencuba segalanya dan ia pastinya tidak akan memberi masalah buat kami.

"Sudah tentu dia menyumbat banyak jaringan dan ia sangat penting."

Guardiola kecewa dengan persembahan City ketika tewas 2-1 di St James Park minggu lalu dan dia sekali lagi menjelaskan kesukaran yang dihadapi pasukannya ketika beraksi di bawah tahap sebenar.

"Penting untuk menyedari apa yang perlu kami lakukan bagi mencapai kemenangan," tambah Guardiola.

"Kami adalah pasukan yang bagus apabila beraksi sepenuh tenaga, mara di sepanjang 90 minit. Namun, apabila bermain di bawah kemampuan sebenar, ia memperlahankan rentak dan kami tidak begitu baik.

"Diharapkan, aksi menentang Newcastle itu telah membantu kami. Kami berbincang mengenainya. Kami bagus apabila melakukan apa yang perlu. Kemudian, kami harus melupakannya.

"Kami akan berjuang untuk kejuaraan sehingga penghujungnya. Saya tidak meraguinya. Saya tidak bercakap tentang kemenangan atau kekalahan tetapi ini adalah soal keinginan mendapatkan gol selepas mencatat satu jaringan.

"Kami tidak melakukannya ketika berdepan Newcastle dan sebab itu kami tewas," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video