Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola perlukan skuad 32 pemain untuk juarai empat gelaran

060118pep-guardiola.jpg
Pep Guardiola sekali lagi menolak peluang Manchester City untuk merangkul empat kejuaraan, dengan menyifatkan beliau perlu memiliki skuad 32 pemain untuk mencapai sasaran tersebut.

City kini memiliki kelebihan 15 mata mendahului saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) manakala skuad bimbingan Guardiola itu merupakan pasukan pilihan untuk meneruskan kemaraan dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) apabila diundi bertemu Basel dalam  pusingan kedua.

Menerima kunjungan Burnley di Stadium Etihad untuk aksi pusingan ketiga Piala FA hari ini, skuad kendalian Guardiola itu akan turut menempuhi aksi separuh akhir Piala EFL berdepan Bristol City, Selasa ini.

Di sebalik peluang untuk mencipta kejayaan dalam empat saingan, Guardiola percaya City memerlukan skuad yang lebih besar jika mahu melakukannya.

"Ajukan soalan ini pada bulan Mac atau April nanti, jika kami masih bersaing dalam empat kejohanan ini. Kemudian kita boleh berbincang," kata Guardiola.

"Kami memerlukan 32 pemain di dalam pasukan untuk bermain dalam empat kejohanan berbeza dan ia merupakan sesuatu yang mustahil.

"Sasaran kami adalah perlawanan bertemu Burnley bagi saingan Piala FA, kemudian Bristol City pada Selasa.

"Burnley merupakan pasukan yang berkualiti. Mereka kurang dibolosi jaringan serta memiliki kekuatan fizikal yang tinggi," katanya.

City dijangka mempertingkatkan lagi skuad bulan ini, dengan pertahanan Barcelona, Samuel Umtiti, serta penyerang Arsenal, Alexis Sanchez, merupakan sasaran mereka.

"Ketika di Barcelona, Bayern dan di sini, saya tidak pernah mendesak kelab untuk mendapatkan pemain-pemain.

"Kelab-kelab ini cuba memberikan yang terbaik. Kami melakukan sesuatu untuk masa depan yang lebih baik.

"Buat masa ini, saya akan terus berusaha denga pemain-pemain yang sedia ada. Sukar untuk mendapatkan pemain ketika ini. Tetapi kami akan terus cuba memberikan yang terbaik."
 

Advertisement

Must Watch Video