LIGA INGGERIS
Gol pakai tangan Hernandez lonjak kebangkitan The Hammers
WEST HAM 3 FULHAM 1
Claudio Ranieri berasakan Fulham tunduk kepada ketakutan selepas jaringan penyamaan penyerang West Ham, Javier Hernandez, mencetuskan kebangkitan lawan untuk menang 3-1, awal pagi tadi.
Jaringan pembukaan Ryan Babel seawal minit ketiga dipadamkan oleh gol kontroversi penyerang dari Mexico, Hernandez, yang menggunakan tangannya untuk menolak bola melintasi garisan gol.
Iklan
Pengadil gagal mengesan tindakan itu dan ia melonjakkan semangat The Hammers untuk merakamkan gol kedua melalui Issa Diop sebelum Michail Antonio memuktamadkan kemenangan mereka dengan gol ketiga pada masa kecederaan.
Ranieri percaya insiden membabitkan Hernandez itu membuktikan kepentingan teknologi dalam bola sepak tetapi mengakui keyakinan goyah melumpuhkan pasukannya dalam aksi di Stadium London itu.
"Sukar untuk pengadil mengesan segala-galanya. Video bantuan pengadil (VAR) boleh menjadikannya lebih baik," kata Ranieri.
"Ia wujud di Itali, dalam Liga Juara-Juara (UCL) dan VAR amat penting di England untuk membantu pengadil.
"Selepas jaringan penyamaan itu, keyakinan West Ham semakin meningkat sementara kami pula berasa gentar. Saya tahu ia sukar tetapi kami harus percaya. Kami perlu terus berjuang kerana saya tidak suka pemain yang berputus asa.
"Jaringan itu terhasil dengan menampan bola menggunakan tangan dan ia menimbulkan situasi tegang. Bagaimanapun, saya tidak mahu ia berlaku, kami perlu sentiasa berjuang.
"Saya percaya dengan setiap pemain. Mereka berjiwa besar, mereka perlu percaya dan sesuatu akan berubah.
"Tahap keyakinan kami akan bertambah apabila menang tetapi sudah lama kami tidak mengecapinya. Bagi saya, ia penting, mereka berlatih dengan baik dan ini bermakna mereka percaya dengan pendekatan saya."
The Cottagers memulakan perlawanan dengan garang dalam misi untuk mencatat kemenangan kedua sejak Disember lalu yang menyaksikan pemain yang direkrut bulan lalu, Babel, membuka akaun jaringannya untuk kelab itu.
Bagaimanapun, mereka akhirnya dikecewakan untuk menempa kekalahan ke-18 liga yang menyebabkan mereka tercicir lapan mata daripada zon selamat.
Pengurus West Ham, Manuel Pellegrini, yang mengkritik permulaan lemah anak buahnya mendakwa mereka wajar meraih kemenangan biarpun tindakan Hernandez tidak dapat dikesan.
"Dari kedudukan saya di bangku simpanan, saya tidak dapat melihatnya (bagaimana gol itu dijaringkan)," kata Pellegrini.
"Saya telah menonton ulang tayangnya dan adegan dia menggunakan tangan tidak dapat dikesan pada waktu itu. Saya tidak fikir ia mempengaruhi perlawanan ini.
"Kami menambah dua gol lagi dan mencipta tiga atau empat peluang lain yang dipatahkan penjaga gol."
Must-Watch Video