Skip to main content

Bola Sepak

Gol Fornals buat Real Madrid gigit jari

pablofornals-cropped_ku754fvhy24i1m30mb3hwsjdx.jpg
REAL MADRID 0 VILLAREAL 1
 
Gol pada minit ke-87 oleh Pablo Fornals membuat Real Madrid terpaksa melupakan hasrat untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata di laman sendiri apabila tewas 0-1 di tangan Villareal dalam aksi liga, awal pagi tadi.

 
Beraksi di Santiago Bernabeu, skuad kendalian Zinedine Zidane itu tidak mempunyai pilihan selain menang selepas sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dalam dua aksi sebelum ini menentang Celta Vigo dan Numancia.
 
Zidane mempertaruhkan Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo di barisan depan, sambil disokong oleh Isco selaku pembantu penyerang, namun tanpa kapten pasukan, Sergio Ramos, yang mengalami kecederaan.
 
Bale menjaringkan gol pembukaan ketika aksi berusia 14 minit menerusi tandukan dari jarak dekat tetapi ia tidak dikira selepas bintang Wales itu berada dalam posisi ofsaid.
 
Ronaldo turut berpeluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-30 selepas menerima bola lorongan Luka Modric, namun ketika dia hanya berdepan penjaga gol, Sergio Asenjo, sepakan pemain terbaik dunia itu sekadar tersasar ke sebelah kanan gawang.
 
Bersambung dalam babak kedua, skuad Los Blancos itu tetap mempertahankan penguasaan bola tetapi kekebalan Asenjo membuatkan jentera serangan tuan rumah buntu untuk mencatat jaringan.
 
Tatkala perlawanan tampak bakal berakhir dengan keputusan seri, Fornals muncul pemusnah apabila meledakkan gol tunggal perlawanan ketika aksi berbaki tiga minit.
 
Jaringan itu berpunca daripada serangan balas pelawat yang menyaksikan percubaan awal Enes Unal ditampan oleh Keylor Navas tetapi Fornals yang bijak melihat penjaga gol Costa Rica itu terkeluar daripada posisi melambungkan bola muntah untuk memastikan Villareal pulang dengan tiga mata.
 
Kekalahan itu menyaksikan Real Madrid kekal di tangga keempat LaLiga dengan 32 mata selepas mencatat sembilan kemenangan, lima seri dan empat kekalahan.
 
 

Advertisement

Must Watch Video