Skip to main content

Bola Sepak

Giggs: City pencabar utama EPL

manchestercity-020817.jpg
Legenda Manchester United, Ryan Giggs, menyifatkan musuh tradisi, Manchester City, merupakan pencabar utama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2017/18.

City menggunakan khidmat bekas pengendali Barcelona, Pep Guardiola, sejak awal musim lepas, namun gagal memberikan impak yang besar apabila sekadar menduduki tangga ketiga liga dan mengakhiri musim itu tanpa sebarang trofi.

Sebaik sahaja jendela perpindahan musim panas dibuka, Guardiola terus memulakan pemburuan pemain dan ketika EPL bakal bermula hampir dua minggu lagi, dia sudah membawa masuk  lima pemain utama yang baru.

Kehadiran Ederson Morais, Bernardo Silva, Danilo, Kyle Walker dan Benjamin Mendy dilihat mampu memberikan nafas baru kepada City dan Giggs percaya mereka telah melakukan satu perubahan yang hebat.

“Saya rasa Manchester City adalah pasukan yang perlu ditewaskan,” kata Giggs.

“Musim lalu, mereka memiliki Sergio Aguero, Gabriel Jesus, Leroy Sane, Kevin De Bruyne, David Silva serta Raheem Sterling dan itu sesuatu yang menggerunkan.

“Apa yang mereka perlu perbaiki adalah barisan pertahanan dan seronok melihat bagaimana Ederson menyesuaikan diri kerana anda tidak boleh memenangi EPL menggunakan penjaga gol sederhana,” tambahnya.

City akan memulakan saingan musim baru menentang pendatang baru, Brighton & Hove Albion, pada 12 Ogos ini.

Advertisement

Must Watch Video