Skip to main content

Bola Sepak

Gantung empat bulan keputusan tidak adil -- Calhanoglu

banned-calhanoglu-determined-to-return-stronger.jpg

Pemain tengah Bayer Leverkusen, Hakan Calhanoglu, berasakan hukuman penggantungan empat bulan yang dijatuhkan terhadapnya adalah tidak adil atas kesalahan pelanggaran kontrak yang berlaku ketika dia berada di kelab lain.

Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) minggu ini mengekalkan hukuman yang dijatuhkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tatkala dia didapati bersalah melanggar kontrak dengan kelab Turki, Trabzonspor.

Kesalahan tersebut berlaku pada 2011 apabila dia bersetuju untuk menyertai kelab itu sebelum menandatangani kontrak pembaharuan dengan kelab Jerman, Karlsruhe.

Pemain berusia 22 tahun itu -- yang turut diperintah membayar pampasan €100,000 kepada Trabzonspor -- mengakui kecewa dengan keputusan tersebut, namun bertekad untuk kembali lebih kuat selepas menamatkan penggantungan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Calhanoglu berkata: "Apa khabar semua? Seperti yang kamu semua sedia maklum, CAS telah mengekalkan hukuman FIFA untuk menggantung saya selama empat bulan. Ini bermakna saya tidak dapat beraksi untuk Bayer Leverkusen dan Turki selama tempoh itu.

"Punca penggantungan tersebut ialah saya telah menandatangani kontrak bersama Trabzonspor pada tahun 2011 ketik berusia 17 tahun sebelum menandatangani kontrak pembaharuan bersama Karlsruhe.

"Saya yakin ketika itu bahawa kontrak saya bersama Trabzonspor hanya sah jika Karlsruhe tidak menyambung kontrak saya.

"Malangnya, FIFA dan CAS memutuskan saya perlu digantung meskipun jelas Trabzonspor telah melanggar beberapa peraturan FIFA dengan menawarkan kontrak kepada saya ketika saya masih terikat dengan Karlsruhe.

"Namun, saya akan menerima keputusan ini dan akan fokus kepada apa yang akan berlaku seterusnya. Saya yakin akan kembali lebih hebat dan akan memberikan segalanya kepada kelab, skuad Turki dan penyokong saya."

 

Advertisement

Must Watch Video