Skip to main content

Bola Sepak

Gandingan Griezmann-Costa dalam perancangan Simeone

060118diegocosta.jpg
Diego Simeone dalam perancangan untuk menggandingkan Diego Costa di jentera serangan bersama Antoine Griezmann tetapi ketua jurulatih Atletico Madrid itu akan cuba menggunakan kombinasi berbeza bagi memastikan keseimbangan dalam pasukannya.

Costa kembali membuat penampilan kali kedua bersama Atleti ketika bertemu Lleida Esportiu dalam saingan Copa del Rey, Rabu lalu, selepas penghijrahannya dari Chelsea akhirnya dimuktamadkan.

Gandingan di antara Costa dan Griezmann merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan penyokong tetapi kehadiran Vitolo ke dalam skuad untuk bersama-sama dengan Kevin Gameiro, Yannick Carrasco, Angel Correa dan Fernando Torres bermaksud Simeone kini kaya dengan pilihan di jentera serangan.

"Ia bergantung kepada perlawanan yang dihadapi nanti tetapi kami sentiasa memikirkan mengenai gandingan Griezmann-Costa dan berharap untuk menyaksikan mereka bekerjasama," kata Simeone.

"Persaingan dalam skuad sangat kuat, Gameiro berada dalam kondisi yang baik, Torres terus mempertingkat mutu permainan, Correa merupakan pemain alternatif yang berkualiti selain mutu Carrasco dalam sesi latihan dan Vitolo yang menyertai pasukan memiliki keazaman yang tinggi.

"Kami perlu mengurus jentera serangan dan melakukan pilihan yang terbaik.

"Kami telah lama mengenali Costa. Kami mengetahui gaya permainannya. Dia merupakan seorang pemain yang berani dan memiliki keazaman yang tinggi," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video