BOLA SEPAK
Fokus, lupakan kekalahan lalu -- Anthony
Pasukan Kelab Bola Sepak Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM FC) diminta supaya melupakan kekalahan lalu, sebaliknya fokus untuk mencuri mata apabila turun menentang Kelab Bola Sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) dalam aksi pembuka tirai Liga FAM, hari ini.
Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata pemain perlu memberikan persembahan lebih baik berbanding ketika kalah 0-4 kepada Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan Malaysia (MOF FC) dalam aksi Piala FA di Stadium Likas, Rabu lalu.
"Pasukan kami kalah di tangan MOF FC kerana gagal memberikan persembahan yang diharapkan dalam perlawanan pertama musim ini.
Iklan
"Kekalahan itu perlu dilupakan dan pemain perlu fokus sepenuhnya kepada perlawanan esok (hari ini). Ia adalah peluang kedua untuk pasukan membuat permulaan menang kerana ia adalah perlawanan pertama liga musim ini.
"Ia bukan tugas mudah kerana perlawanan itu di gelanggang lawan tetapi saya percaya kami mampu memberikan persembahan lebih baik...Kalau tidak menang pun, sekurang-kurangnya bawa balik satu mata," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, semalam.
Beliau berkata ketua jurulatih, Andrew Majanggim, dijangka melakukan sedikit rombakan terhadap kesebelasan utamanya berbanding ketika bertemu MOF FC, tempoh hari.
"Saya berharap percaturan kami menjadi esok. Sasaran kami tentunya membawa balik tiga mata tetapi kalau tidak pun, sekurang-kurangnya dapat satu mata," katanya.
Must-Watch Video