Skip to main content

Bola Sepak

FIFA, Qatar umum usahasama menjelang Piala Dunia 2022

v1odl9dmpdzupbnblsok.jpg
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar, mengumumkan sebuah usahasama dalam memastikan kejohanan yang disifatkan "pertunjukan terhebat di dunia" itu akan berlangsung dengan lancar dan gemilang tiga tahun lagi.

Sejajar dengan visi serta objektif FIFA 2.0 yang mahu mencipta pembaharuan bagi meningkatkan tahap Piala Dunia, sebuah syarikat liabiliti terhad (LLC) telah ditubuhkan dalam satu acara di Doha, semalam.

Menurut laman web rasmi fifa.com, LLC itu adalah gabungan daripada FIFA yang memegang 51 peratus perkongsian manakala Jawatankuasa Penganjuran Tempatan memegang 49 peratus ekuiti syarikat itu di Pusat Kewangan Qatar. 

Ia bertanggungjawab bagi memainkan peranan utama dalam aspek-aspek utama penganjuran Piala Dunia 2022, termasuk operasi dan perkhidmatan dalam keseluruhan kejohanan sambil menyasarkan lebih ketepatan dalam kawalan bagi memastikan pengalaman terbaik Piala Dunia buat semua pemegang taruh.

"Hari ini, kami mengambil satu langkah besar buat sebuah acara sukan tunggal yang terbesar di dunia," kata Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura, yang menjadi sebahagian daripada sembilan ahli lembaga pengarah syarikat usahasama itu  yang bertemu buat kali pertama, semalam.

"Ia dicipta berdasarkan visi Presiden FIFA, Gianni Infantino, bersama wakil pihak Qatar yang mahu menyusun semula corak kerja serta mengelakkan sebarang kekurangan.

“Saya yakin dengan pendekatan baru ini untuk merancang, menyampaikan serta meninggalkan sebuah legasi yang boleh membantu Piala Dunia terus menjadi satu acara yang sentiasa dinantikan di seluruh dunia."

Lembaga pengarah LLC itu turut dibarisi oleh dua Timbalan Setiausaha Agung FIFA, Zvonimir Boban dan Alasdair Bell, Ketua Pertandingan FIFA, Colin Smith, Pegawai Undang-Undang FIFA, Emilio Garcia Silvero, Pengerusi LLC, Hassan Al Thawadi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LLC, Nasser Al-Khater, Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Qatar (QFA), Saoud Al-Mohannadi, serta Pengerusi Pejabat Operasi merangkap Naib Pengerusi Pejabat Operasi Teknikal Jawatankuasa Tertinggi Qatar, Yasir Al Jamal.

Hassan Al Thawadi berkata: “Penubuhan sebuah syarikat usahasama baru ini adalah bertepatan dengan waktu paling strategik dalam projek Piala Dunia Qatar sambil kami mengalihkan fokus daripada menyediakan stadium, padang latihan dan pengangkutan yang diperlukan untuk 2022, kepada pengalaman pemain dan peminat serta operasi penganjuran.

“Saya berasa yakin bahawa gabungan pengalaman luas FIFA dalam kejohanan ini di samping pengalaman taktikal kami sendiri dan kerja keras selama sembilan tahun dalam projek ini, akan menjamin Piala Dunia FIFA yang pertama di dunia Arab akan menjadi yang terbaik pernah dianjurkan.”

Kredit foto: FIFA.COM

Advertisement

Must Watch Video